JOHOR BAHRU – Seorang warga emas maut apabila kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Jalan Sutera Danga, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kemalangan berlaku pada jam 2.23 pagi, melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza dan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda WTM T60.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun, datang dari arah Bukit Indah menuju ke Jalan Persiaran Sutera Danga 1.
“Ketika membelok ke kanan di lampu isyarat, kenderaan itu dirempuh oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 35 tahun.
“Akibat pelanggaran tersebut, kenderaan pacuan empat roda berkenaan berpusing dan terbabas lalu melanggar sebatang tiang lampu serta pembahagi jalan arah ke Bukit Indah,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Tambah beliau, pemandu Perodua Bezza mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu wanita kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Noor Azlina Abdul Raof di talian 013-2864878 bagi membantu siasatan,” ujarnya.