Remaja 14 tahun mengaku baling batu pecahkan cermin tren KTMB

Iklan
Keadaan cermin tingkap sebuah koc tren KTMB yang pecah. Foto tular

ARAU - Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ditahan polis selepas mengaku membaling batu ke arah sebuah tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sehingga menyebabkan cermin tingkap sebuah koc pecah pada Khamis.

Suspek yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di sini ditahan menerusi Op Cantas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Arau bersama Task Force Balai Polis Arau pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku sengaja membaling seketul batu ke arah tren berkenaan ketika berada di kawasan jejantas motosikal Kampung Jelempok di sini.

"Bagaimanapun, hanya suspek yang bertindak membaling batu, manakala empat lagi rakannya tidak terlibat dalam perbuatan itu dan sekadar menyaksikan kejadian," katanya pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan polis menerima laporan berhubung kejadian cermin tingkap sebuah KTMB yang pecah dipercayai ketika dalam perjalanan dari Stesen Arau yang menghala ke Alor Setar pada Khamis.

Laporan berhubung kejadian itu diterima Balai Polis Arau pada jam 12.30 tengah hari pada Jumaat.

Iklan

Jelas Ahmad Mohsin, suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Guar Sanji di sini.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Vivo Y05 bersama kad SIM serta seketul batu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

"Suspek yang tidak mempunyai rekod lampau kini ditahan di lokap Balai Polis Kangar bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," ujarnya.