Dua rentung kemalangan: Mangsa dikenal pasti anggota tentera, pelajar Tingkatan Lima

Iklan
Dua individu termasuk seorang anggota tentera dan calon SPM rentung selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan terbakar di Kilometer 32 Jalan Tanjung Balau–Sedili, Kota Tinggi awal pagi Rabu. Foto bomba

KOTA TINGGI - Dua individu yang rentung dalam insiden kereta terbakar di Kilometer (KM) 32, Jalan Tanjung Balau-Sedili, awal pagi Rabu, dikenal pasti sebagai Muhammad Daniel Saberi, 21, dan Aiza Nur Elysha Sabri, 17.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, siasatan mendapati Muhammad Daniel bertugas sebagai anggota tentera, manakala Aiza Nur Elysha merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu.

Iklan
Iklan

“Kita menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.30 pagi, melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu oleh Muhammad Daniel.

“Siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri dan melanggar pokok kelapa sawit berhampiran kawasan kebun, menyebabkan kereta berkenaan terbakar.

Iklan

“Kedua-dua mangsa rentung di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi proses bedah siasat untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah serta terbakar di seluruh anggota badan.

Iklan

Tambah Yusof, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya demi menjaga keselamatan bersama,” katanya.

Beliau turut meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fairus Abdul Malek di talian 012-7415886 bagi membantu siasatan.