KERAJAAN Arab Saudi pada Isnin menetapkan beberapa syarat kesihatan baharu bagi musim Haji 1447H/2026M, termasuk larangan kepada individu yang menghidap penyakit kronik tidak terkawal dan penyakit berjangkit daripada menunaikan ibadah haji tahun hadapan.
Tabung Haji (TH) dan Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kini sedang memperkukuh sistem pemeriksaan kesihatan wajib agar bakal haji yang benar-benar layak dari segi kesihatan sahaja dibenarkan berangkat.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, saranan penangguhan giliran haji bagi bagi mereka yang belum melepasi tahap kesihatan minimum bukan sebagai sekatan tetapi untuk memperbaiki kesihatan dan bersedia sepenuhnya.
Menurutnya, ibadah haji bukan sekadar rukun Islam kelima, ia juga ujian kemampuan (istito’ah), termasuk kemampuan dari segi kesihatan fizikal dan mental.
Penetapan beberapa syarat kesihatan baharu tersebut dilihat sebagai langkah yang realistik dan berpandangan jauh.
Ia mencerminkan usaha kerajaan untuk melindungi jemaah, mengurus kuota secara adil, memastikan keberkesanan pengurusan dana dan menyokong pelaksanaan ibadah yang sempurna.
Keputusan itu mungkin menimbulkan pelbagai reaksi, terutamanya dalam kalangan bakal jemaah yang sudah lama menyimpan dan menunggu giliran.
Namun, jika dilihat dari sudut yang lebih luas dan rasional, langkah tersebut sebenarnya membawa banyak kebaikan bukan sahaja dari aspek kesihatan dan keselamatan, malah dari sudut pengurusan ekonomi ibadah haji yang lebih lestari dan bertanggungjawab.
Menunaikan haji bukanlah perjalanan biasa. Ia adalah ibadah fizikal dan spiritual yang mencabar, melibatkan aktiviti seperti berjalan jauh dalam cuaca panas, beratur panjang, dan berada dalam kerumunan jutaan manusia.
Justeru, memastikan hanya individu yang benar-benar sihat dibenarkan menunaikan haji adalah langkah asas bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan jemaah itu sendiri.
Kes-kes kematian, strok haba, keletihan melampau atau komplikasi penyakit kronik sering berlaku dalam kalangan jemaah yang lemah kesihatan.
Ini bukan sahaja membahayakan nyawa individu terbabit, malah menyukarkan urusan petugas haji dan meletakkan tekanan kepada sistem kesihatan di Tanah Suci.
Maka, syarat kesihatan ini dilihat sebagai satu bentuk perlindungan dan ihsan kepada bakal jemaah.
Dengan menghadkan penyertaan kepada mereka yang benar-benar sihat, kerajaan dan TH dapat mengurus kuota haji negara dengan lebih cekap dan adil.
Ini membolehkan giliran diberikan kepada individu yang bersedia secara jasmani dan rohani serta boleh melaksanakan ibadah dengan sempurna.
Dalam jangka panjang, dasar ini juga boleh membantu mengurangkan kos rawatan perubatan dan keperluan sokongan logistik khas di Tanah Suci sekali gus membolehkan lebih banyak sumber diagihkan kepada perkhidmatan sokongan ibadah yang berkualiti tinggi.
Satu lagi aspek penting ialah tanggungjawab kewangan. Haji adalah ibadah bagi mereka yang berkemampuan — bukan hanya dari segi kewangan, tetapi juga kesihatan dan keupayaan fizikal.
Dengan adanya syarat ini, ia memastikan simpanan tunai di TH digunakan pada masa yang sesuai iaitu apabila jemaah benar-benar mampu menunaikannya dengan baik.
Ini juga boleh mengelakkan situasi di mana seseorang menunaikan haji secara tergesa-gesa walaupun uzur, lalu tidak dapat menyempurnakan rukun dan wajib haji dengan sempurna.
Dalam sesetengah kes, ibadah tersebut terpaksa ditangguh atau tidak sah, menyebabkan pembaziran dari segi wang dan tenaga.
Selain itu, ia juga memberi isyarat jelas kepada umat Islam di Malaysia bahawa ibadah haji memerlukan persediaan yang rapi dan menyeluruh termasuk kesihatan tubuh badan.
Syarat ini boleh menjadi dorongan kepada bakal jemaah untuk menjaga gaya hidup, mengawal penyakit kronik, dan membuat pemeriksaan kesihatan berkala sebelum giliran haji tiba.
Ia juga membuka ruang kepada amalan pendidikan kesihatan yang lebih meluas dalam kalangan umat Islam, sejajar dengan prinsip maqasid syariah yang menekankan penjagaan nyawa dan tubuh badan.