DENPASAR– Seorang lelaki membunuh isterinya baru-baru ini, selepas dipercayai tersinggung kerana dihina mengenai keturunan dan suku asalnya.
Menurut Ketua Polis Kuta, Kompol Agus Riwayanto Diputra, kejadian berlaku selepas pasangan itu pulang dari sebuah bar di pantai Kuta. Sepanjang perjalanan ke rumah, mereka dilaporkan terlibat dalam pertengkaran.
Mangsa Endang Sulastri, 41, pemilik kedai kopi, bar dan perkhidmatan sewa motosikal di Badung, Bali, dikatakan mengkritik prestasi kerja suspek, Kamal Mopangga, 33, yang juga pekerja di bar miliknya di pantai Legian, namun kritikannya disertai dengan kata-kata kesat dan penghinaan bersifat perkauman, yang dipercayai mencetuskan kemarahan Kamal.
Kamal dikatakan merancang untuk membunuh Endang ketika mangsa sedang tidur. Dia kemudiannya kembali ke bar di pantai Legian untuk mengambil pisau dapur.
“Mereka bertengkar, dan suspek dihina secara perkauman. Itu menjadi motifnya untuk melakukan pembunuhan,” kata Agus pada Jumaat.
Namun ketika hendak menyerang, Endang masih terjaga dan meminta Kamal memicit belakangnya.
Kesempatan itu terus dimanfaatkan Kamal, lalu menikam leher Endang sebanyak tiga kali dari belakang dengan pisau yang disembunyikan di bawah bantal.
Bedah siasat mendapati 60 peratus saluran pernafasan mangsa terputus akibat serangan tersebut.
Selepas melakukan pembunuhan, Kamal dilaporkan tinggal semalaman bersama mayat mangsa di bilik yang sama.
Keesokan harinya, dia mengambil kad debit mangsa dan komputer riba, sebelum terbang ke Bitung, Sulawesi Utara.
Di sana, Kamal bersembunyi di sebuah pondok separa kekal tempat nelayan berehat, namun pihak polis berjaya menjejakinya.
Suspek kemudian berjaya ditahan oleh Polsek Kuta dan Resmob Polda Sulawesi Utara.
Kamal kini berhadapan dengan undang-undang Artikel 340 Kanun Keseksaan Indonesia dengan hukuman maksimum mati, kerana unsur perancangan awal dalam kes ini.
Polis mengesahkan bahawa Kamal bertindak sendirian, tanpa sebarang penglibatan pihak ketiga.
Kamal, yang berasal dari Gorontalo, mengaku bertindak disebabkan emosi akibat penghinaan terhadap keturunan dan sukunya.
“Saya sudah menegur agar tidak menghina keturunan dan suku Gorontalo saya,” katanya ketika hadir dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Denpasar. -Agensi