Padang Bola Sepak Kampung Jawa di Hulu Langat menjadi lokasi pertama inisiatif Ini Padang Kita yang digerakkan oleh Astro sebagai usaha memperkasa pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dan menghidupkan kembali semangat sukan itu dalam kalangan masyarakat setempat.
Melalui program tersebut, Astro berhasrat membaik pulih serta memperindah padang komuniti agar menjadi ruang yang selamat dan inklusif tempat kanak-kanak bebas bermain, belia berlatih dengan yakin serta komuniti berkumpul mengeratkan hubungan.
Padang Bola Sepak Kampung Jawa merupakan lokasi latihan Akademi Bolasepak Serama iaitu sebuah akademi kendalian komuniti tempatan yang menghimpunkan lebih 100 kanak-kanak dari kampung sekitar termasuk komuniti Orang Asli.
Menariknya, akademi ini telah berjaya melahirkan beberapa bakat muda yang kini menarik perhatian kelab ternama seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan PDRM FC.
Kerja-kerja baik pulih padang yang bermula pada Khamis lalu dilaksanakan dengan kerjasama barisan sukarelawan Astro, komuniti tempatan dan penaja tempatan. Antara usaha yang dijalankan termasuk mengecat semula garisan padang, membaiki bangku penonton, menggantikan jaring gol serta membina pondok baharu bagi kemudahan pemain.
Pada Sabtu yang lalu, padang tersebut kembali meriah dengan penganjuran Klinik Bola Sepak Ini Padang Kita yang Astro dikendalikan oleh barisan penganalisis sukan dan bekas pemain kebangsaan seperti Farizal Marlias, Razman Roslan, Mohd Nizaruddin Yusof dan S Subramaniam bersama beberapa pemain KL City FC.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, padang bola sepak merupakan titik permulaan bagi setiap perjalanan pemain profesional termasuk mereka yang kini beraksi bersama kelab ternama dan skuad kebangsaan.
Menurutnya, Astro bukan sahaja mahu memastikan padang komuniti ini menjadi tempat yang selamat dan berkualiti, tetapi juga terus menjadi medan lahirnya impian serta semangat pemain masa depan negara.
“Astro dikenali dengan liputan Liga Perdana Inggeris dan sokongan terhadap Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), namun hakikatnya semua pemain hebat itu bermula di padang seperti ini, iaitu tempat mereka mula jatuh cinta kepada bola sepak.
“Sebagai sebahagian daripada masyarakat Malaysia, kami mahu memberi kembali kepada komuniti dengan menyediakan ruang yang bukan sahaja selamat, tetapi juga menjadi sumber inspirasi untuk anak-anak berimpian menjadi bintang masa depan,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif ini turut mencerminkan pengalaman peribadinya ketika kecil yang bermain bola sepak di padang tidak rata dan tidak selamat.
“Ketika saya berusia enam tahun, saya bermain di kawasan berbukit yang penuh lubang dan tidak mempunyai kemudahan asas. Apa yang kami lakukan di sini ialah menyediakan ruang yang lebih baik dan selamat untuk kanak-kanak bermain serta menikmati bola sepak dengan sepenuh hati,” ujarnya.