KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur meminta masyarakat mematuhi arahan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di ibu negara pada 26 hingga 28 Oktober ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, polis akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sekiranya ada pihak yang cuba mengganggu-gugat Sidang Kemuncak ASEAN dan ketenteraman awam.
“Saya ingin tegaskan kepada mana-mana pihak yang terlibat dan cuba menganjurkan apa-apa perhimpunan agar tidak mengganggu persidangan ini, mengganggu laluan dan paling penting jangan ada aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Fadil berkata, Polis Kuala Lumpur akan mengambil tindakan setegas-tegasnya terhadap mana-mana pihak yang cuba membuat kekecohan.
“Kita akan tangani dan pantau sebaik-baiknya,” katanya.
Beliau berharap Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar hasil kerjasama masyarakat.
“Kita (polis KL) bersama agensi-agensi lain akan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam menjadi keutamaan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ini berlangsung,” katanya.
Mengulas mengenai maklumat awal berhubung sebarang perancangan untuk mengadakan perhimpunan disebabkan kehadiran beberapa pemimpin dunia, Fadil mengesahkan dakwaan berkenaan berdasarkan maklumat perisikan yang dijalankan.
“Difahamkan ada beberapa perhimpunan yang dirancang hasil maklumat yang kita terima dan kita akan uruskannya dengan penganjur,” katanya.
Beliau turut meminta masyarakat mengelakkan laluan serta merancang laluan yang hendak digunakan dengan lebih awal.
“Gunakan laluan alternatif yang ada, susun semula aktiviti yang dirancang terutama pada hari persidangan serta gunakanlah perkhidmatan awam untuk elak kesesakan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seramai 10,212 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), terutama dari Kontinjen Kuala Lumpur, Kontinjen Selangor, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), dibantu kontinjen-kontinjen lain, akan terlibat dalam mengawasi perjalanan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.