[VIDEO] 'Rasa, Ritma dan Warna – Semarak Mahmeri 2025'

Iklan

SHAH ALAM - Keunikan seni dan budaya masyarakat Orang Asli Mahmeri kembali menyerikan Pulau Carey menerusi penganjuran Program Penyemarakkan Seni Budaya: Budaya@Komuniti ‘Pasar Mui Mahmeri 2025’ yang berlangsung pada 25 dan 26 Oktober 2025 di Pusat Kraf Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Kuala Langat.

Menurut Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor, Muhammad Hasmizan Ishak, program bertemakan “Rasa, Ritma dan Warna – Semarak Mahmeri 2025” itu dianjurkan oleh JKKN Selangor, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bersama Persatuan Seni Ceritera dengan kerjasama Pusat Kraf Kampung Orang Asli Sungai Bumbun.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, penganjuran ini menjadi platform penting memperkukuh nilai perpaduan dan kelestarian warisan budaya tempatan, selain memperkenalkan keunikan masyarakat Mahmeri kepada umum.

“Program ini memperlihatkan kesatuan dalam kepelbagaian seni budaya etnik dan kaum di Selangor. Ia bukan sekadar sambutan, tetapi usaha berterusan memelihara dan memulihara warisan yang menjadi identiti negeri ini,” ujarnya ditemui sempena promosi program Budaya@Komuniti: Pasar Mui Mahmeri 2025 di Kompleks Karangkraf, Seksyen 16, Shah Alam pada Selasa.

Iklan

Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk Pasar Sehari Komuniti Mahmeri, persembahan kesenian dan artis jemputan (Amir Sisi dan Kumpulan Acazero), Pertandingan Happy Games Permainan Orang Asli, Mahmeri Fun Run 2025, Pertandingan Bola Jaring Berkain Batik, Tarian Sewang Mui 2025, Futsal Mahmeri 2025, Gasing Bayblade Mahmeri 2025, Pertandingan Mewarna Mahmeri 2025 serta Minum Petang Percuma.

Muhammad Hasmizan (tiga dari kiri) ditemui sempena promosi program Budaya@Komuniti: Pasar Mui Mahmeri 2025 di Kompleks Karangkraf, Seksyen 16, Shah Alam pada Selasa.

Iklan

Perkataan ‘Mui’ dalam bahasa Mahmeri membawa maksud ‘satu’, menggambarkan semangat perpaduan dan kebersamaan yang menjadi teras kepada program ini.

“Dengan semangat ‘Mui’ ini, JKKN Selangor bersama rakan strategik berusaha memperkenalkan keindahan dan keunikan Mahmeri melalui persembahan seni, kraf tangan, aktiviti sukan tradisional dan moden yang berpaksikan warisan serta nilai perpaduan,” ujar Muhammad Hasmizan.

Penganjuran kali ini turut mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri, swasta serta pertubuhan masyarakat seperti Jakoa Negeri Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Bandaraya Diraja Klang, SK Sungai Bumbun A Pulau Carey, Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, Alpha Runner Club, Bank Simpanan Nasional Negeri Selangor, Karangkraf Sdn Bhd, SelangorFM, Pertubuhan Komuniti Cakna Selangor, Jabatan Pertanian Daerah Kuala Langat, Tourism Selangor Sdn Bhd dan Pejabat Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Langat.

“Penglibatan pelbagai pihak ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem seni budaya, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti tempatan melalui pelancongan berasaskan budaya,” tambahnya.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Seni Ceritera, Sheikh Shuhaimi Sheikh Abdul Rahim dan Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang.

Menariknya, semangat dan ketekunan masyarakat Mahmeri turut terserlah melalui hasil seni ukiran tradisional mereka.

Antara yang menjadi tumpuan ialah karya Kemi Khamis, 54, pengukir patung dan topeng Mahmeri dari Kampung Sungai Bumbun yang telah berkecimpung dalam bidang ini sejak remaja.

Bapa kepada lima anak itu berkata, setiap ukirannya menggambarkan kisah roh dan legenda moyang Mahmeri yang dipercayai sebagai pelindung serta sumber keseimbangan hidup.

“Setiap topeng dan patung yang saya hasilkan bukan sekadar hiasan. Ia mewakili semangat nenek moyang kami dan menjadi cara kami menghargai asal-usul sendiri,” katanya ketika ditemui di Kompleks Karangkraf, Seksyen 16 di sini pada Selasa.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini boleh melayari laman Facebook rasmi JKKN di www.facebook.com/mysenibudaya.