PETALING JAYA – Rasa sedih terhadap tragedi yang menimpa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin, 6 tahun, menjadi titik tolak kepada penduduk memperkukuh keselamatan komuniti di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
Insiden yang berlaku dua tahun yang lalu itu memberi kesan mendalam dan membuka mata masyarakat mengenai kepentingan sistem pemantauan dan kerjasama komuniti dalam mencegah jenayah.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Senior Asisten Komisioner, Mohammad Fakhrudin Abd Hamid mengakui pengalaman sepanjang operasi pencarian meninggalkan kesan mendalam apabila melihat kesungguhan penduduk setempat yang bersama-sama membantu pihak polis.
Beliau yang merupakan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ketika itu berkata, operasi pencarian dijalankan secara intensif sejak laporan kehilangan diterima sehingga mayat mangsa ditemui, dengan kerjasama erat komuniti Damansara Damai yang turun padang tanpa mengira waktu.
“Sebagai pegawai polis dan juga sebagai manusia, saya sangat sedih melihat apa yang berlaku. Kita tidak mahu perkara seperti ini berulang lagi di kawasan ini,’ katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan Penyerahan Peralatan Skuad Keselamatan MC Pangsapuri Idaman.
Turut hadir Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Aznan Hassan serta Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat.
Mohammad Fakhrudin berkata, semangat kebersamaan penduduk sebagai sesuatu yang mengagumkan dan membuktikan bahawa kekuatan komuniti mampu membantu pihak berkuasa dalam situasi kecemasan.
Terkini sebanyak 396 unit CCTV dipasang melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk MBPJ dipasang di sekitar Pangsapuri Idaman.
Mengulas langkah keselamatan selepas kejadian, beliau berkata, polis meningkatkan rondaan terutama pada waktu awal pagi antara jam 2 hingga 4 pagi bagi memastikan kawasan sentiasa dipantau.
Selepas kejadian itu polis meningkatkan rondaan intensif terutama pada waktu awal pagi antara jam 2 hingga 4 pagi bagi memastikan kawasan sentiasa dipantau.
“Tuan-tuan mungkin ingat lagi, Kawasan ini penuh dengan polis. Kita tutup jalan, dan jalankan pemeriksaan bagi mengesan kanak-kanak itu dan beberapa tangkapan turut dilaksanakan,” ujarnya.
Beliau mengakui siasatan awal berdepan cabaran apabila jumlah CCTV ketika kejadian sangat terhad, sekali gus menyukarkan proses pengesanan.
“Masa itu CCTV tidak mencukupi dan ada yang tiada sistem perakam. Sebab itu usaha menambah baik sistem keselamatan menjadi keutamaan,” katanya.
“Kalau CCTV seperti ini sudah ada sejak awal, mungkin kes boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat,” jelasnya.
Beliau turut melihat perubahan positif dalam kalangan masyarakat selepas tragedi berkenaan apabila penduduk lebih peka terhadap keselamatan persekitaran dan saling bekerjasama.
“Kita harap dengan kemudahan CCTV dan kerjasama komuniti, anak-anak kita berada dalam keadaan selamat dan jenayah dapat dicegah lebih awal,” katanya.
Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia pada 6 Disember 2023 kira-kira jam 10 malam di anak sungai berhampiran blok kediamannya
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di kawasan berkenaan.
Pada 7 Disember 2023 polis mengklasifikasikan kematian Zayn Rayyan sebagai kes bunuh selepas proses bedah siasat dilakukan di Hospital Sungai Buloh.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan di leher dan badan kanak-kanak itu.