PUTRAJAYA - Kerajaan disaran menubuhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Junior bagi memulihkan murid yang bermasalah disiplin di sekolah.
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, inisiatif itu dilihat mampu membantu membentuk semula sahsiah dan disiplin murid melalui pendekatan latihan tersusun, bukan sekadar amaran atau hukuman semata-mata.
Menurutnya, PLKN Junior boleh dijadikan platform khas untuk membangunkan semula karakter murid berisiko tinggi, khususnya mereka yang gagal dipulihkan melalui kaunseling atau intervensi sekolah biasa.
“Jika salah laku disebabkan oleh diri murid itu sendiri seperti tidak berdisiplin, melawan guru atau melanggar peraturan sekolah, elok kerajaan wujudkan kem PLKN Junior untuk bantu mendisiplinkan semula murid-murid ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, murid yang terlibat perlu ditempatkan selama tiga bulan di kem PLKN Junior bagi menjalani latihan pembentukan diri secara intensif.
“Letakkan murid-murid ini selama tiga bulan di PLKN Junior. Bentuk dan bina semula karakter mereka. Gilap potensi mereka supaya mereka sedar akan kebolehan diri sendiri,” jelasnya.
Anuar berkata, antara modul latihan yang perlu ditekankan ialah aspek penghormatan terhadap orang lain, amalan hidup berdisiplin serta semangat untuk berjaya.
Katanya, latihan fizikal juga disaran dilaksanakan bagi meningkatkan stamina, ketahanan dan kecergasan peserta, sementara segala bentuk media sosial dan permainan video diharamkan sepanjang tempoh latihan bagi membina semula disiplin diri.
“Selama tiga bulan di PLKN Junior, murid-murid fokus membina kembali diri mereka sendiri,” katanya.
Selain latihan sahsiah dan fizikal, Anuar turut mencadangkan agar peserta PLKN Junior meneruskan sesi pembelajaran sepanjang tempoh program itu, dibimbing oleh guru-guru bersara yang berpengalaman.
Langkah itu penting bagi memastikan murid tidak tercicir daripada pelajaran walaupun sedang menjalani proses pemulihan disiplin.
Mengakui pelaksanaan PLKN Junior bukan tugas mudah, beliau berkata, kerajaan perlu berani melabur demi masa depan generasi muda.
“Ya, memang sukar dan memerlukan peruntukan. Tetapi mana lebih sukar antara membangunkan program PLKN Junior atau terpaksa membina lebih banyak pusat pemulihan dadah dan penjara?” katanya.
Beliau menegaskan, pendekatan sedia ada seperti ceramah, leteran atau hukuman gantung sekolah tidak lagi berkesan dalam menangani salah laku murid masa kini.
“Yang penting, ubahlah cara penyelesaian kita. Lakukan pendekatan lebih berani untuk menyelamatkan masa depan murid-murid ini,” ujarnya.
Tambah Anuar, pelbagai kajian menunjukkan salah laku murid berpunca daripada banyak faktor, bukan hanya satu sebab.
Antaranya termasuk tekanan hidup keluarga miskin, kecuaian ibu bapa dalam mendidik anak-anak, pengaruh media sosial dan permainan video keterlaluan, serta pengaruh rakan sebaya yang kuat.
“Ada salah laku murid sebab keluarga miskin. Ada pula kerana ibu bapa tidak mempunyai asas agama dan moral. Ada yang terpengaruh dengan media sosial dan permainan video hingga rosak cara berfikir, malah ada yang terjebak kerana pujukan rakan-rakan,” jelas beliau.
Justeru, katanya, penyelesaian tidak boleh diseragamkan, sebaliknya perlu berasaskan kepada punca sebenar salah laku.
“Hendak selesaikan memang boleh, tapi caranya lain padang lainlah belalang. Lain salah laku, lainlah ubatnya,” katanya.
Beliau menegaskan, bagi kes berpunca daripada kemiskinan, kerajaan wajar menyalurkan bantuan kepada keluarga terlibat.
Namun, bagi kes yang berpunca daripada disiplin diri murid, intervensi berbentuk latihan berstruktur seperti PLKN Junior adalah pilihan terbaik.