KUALA LUMPUR – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur Ahli Parlimen pembangkang yang membuat kenyataan biadab dan menghina berkaitan isu jajaran sempadan Malaysia–Indonesia mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat.
Ketika Sesi Penerangan Khas Parlimen melibatkan isu Jajaran Sempadan Malaysia–Indonesia, Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan bahawa tuduhan pembangkang yang mendakwa beliau mengkhianati negara perlu diperbetulkan.
“Saya harap walaupun pembangkang tidak menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai kerajaan dan tentera, kenyataan yang dibuat tidaklah menghina atau biadab. Apa yang tidak betul? Termasuk Pendang.
“Ada kenyataan biadab, ada kenyataan yang menuduh saya mengkhianati negara. Ini yang perlu diperbetulkan,” katanya.
Susulan itu, Datuk Rosol Wahid (PN–Hulu Terengganu) membangkitkan Peraturan Dewan 36(12) kerana mendakwa tuduhan Anwar terhadap pembangkang adalah tidak berparlimen.
“Isunya tuduhan Perdana Menteri yang mengatakan bahawa kami memaki hamun dan bertindak biadab termasuk Pendang, saya rasa ia tidak berparlimen,” katanya.
Beberapa ahli Parlimen lain termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN–Larut), Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN–Machang) dan Datuk Awang Hashim (PN–Pendang) turut bangkit kerana tidak bersetuju dengan tuduhan terbabit.
Rentetan itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mencadangkan supaya isu berbangkit dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas untuk dibincangkan sebelum dibentangkan semula di Parlimen.