KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak menyinggung perasaan 'rakan' di Indonesia dalam menyatakan pendapat berhubung isu jajaran sempadan melibatkan kedua-dua negara.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, perbezaan pandangan boleh diraikan namun tidak seharusnya menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Republik berkenaan.
"Kita kena jaga hubungan dengan Indonesia sejak 1974 yang sangat baik. Rundingan (persempadanan) diteruskan di semua peringkat.
"Selalunya kerjasama antara dua pihak itu dari serendah-rendah pegawai hingga menteri, perdana menteri dan kerajaan dengan kerajaan Indonesia berjalan sangat baik.
"Kita boleh berbeza pendapat tetapi jangan jatuhkan hukuman dan jangan menyinggung perasaan rakan-rakan di Indonesia yang berusaha menjalin hubungan baik dan akrab antara dua negara," katanya ketika Sesi Penerangan Khas Parlimen Isu Jajaran Sempadan Malaysia-Indonesia, di Dewan Rakyat pada Rabu.
Sebelum ini Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menjelaskan laporan media yang mendakwa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah–Kalimantan adalah tidak tepat.
Ia susulan media Republik itu yang melaporkan tiga desa di Nunukan, Kalimantan Utara, kini beralih ke Malaysia, namun pertikaian sempadan di kawasan Pulau Sebatik masih belum diselesaikan, sementara Indonesia dilapor memperoleh tambahan kawasan seluas 5,207 hektar daripada Malaysia.
Dalam pada itu Anwar menegaskan, perbincangan mengenai persempadanan antara Malaysia-Indonesia perlu dibuat secara berhemah dan elak tuduhan tidak berasas.
"Saya tidak ada masalah sekiranya pembangkang mahu bertanya, tetapi saya bantah keras tuduhan dan fitnah menyatakan kita khianat kepada negara.
"Saya telah bentangkan dengan fakta dan peta, sebaiknya teliti semula. Ada bahagian yang belum dimuktamadkan, ada yang sudah (dimuktamadkan)," ujarnya.