PEKALONGAN - Laut semakin menghakis laluan ke perkampungan Bedono didiami Karminah, sekali gus mengancam rumahnya dan penduduk lain yang terletak di Pulau Jawa, Indonesia.
Bagi menangani risiko ditenggelami laut, pemerintah merancang untuk membina tembok sepanjang 700 kilometer yang menelan kos kira-kira AS$80 bilion (RM337 bilion).
Kebanyakan penduduk melihat ia sebagai 'pelan penyelamat' buat mereka berikutan keadaan kian berbahaya terutamanya ketika fenomena air pasang.
Tetapi, pelan dan pembiayaan yang tidak menentu selama beberapa dekad berkemungkinan menyebabkan rancangan tersebut tidak dapat direalisasikan.
Pakar iklim sudah pun memberi amaran ia berisiko memburukkan lagi situasi dengan mendorong hakisan di lokasi lain dan mengganggu ekosistem.
"Anak-anak tidak dapat bersekolah dan bermain di luar. Mereka hanya boleh duduk di tempat lebih tinggi sambil merenung air yang menenggelamkan jalan di kampung kami," kata Karminah, 50.
Pemerintah menyifatkan projek tembok gergasi itu sebagai inisiatif paling penting untuk membantu komuniti yang tinggal di pesisir pantai di Jawa yang menempatkan kira-kira 280 juta penduduk termasuk di ibu kota Jakarta yang semakin tenggelam.
Kepala desa Bedono, Muhammad Syarif memberitahu dia terpaksa meninggikan rumahnya dengan tanah liat kerana bimbang 'ditelan' laut.
"Tembok laut amat diperlukan untuk mengelakkan bencana. Ia merupakan satu penyelesaian paling tepat dan efektif," ujarnya.
Namun, projek mega itu dikatakan berdepan masalah dana meskipun Presiden Prabowo Subianto telah merayu pelaburan Asia dan Asia Barat.
Baru-baru ini, beliau melantik agensi baharu untuk mengawasi projek tersebut.
"Saya tidak tahu pentadbiran Presiden mana yang akan menamatkan projek tersebut, tetapi kami yang akan memulakannya," menurut Prabowo pada Jun lalu.
Kesan negatif
Tembok laut dan benteng pantai lain telah digunakan di seluruh dunia untuk mengekang arus pasang surut yang merosakkan.
Di Jepun, struktur halangan itu dipasang di beberapa lokasi selepas kejadian bencana berganda pada 2011 manakala Belanda bergantung kepada sistem berbentuk seperti bukit untuk mengelakkan banjir.
Kubu sebegini dikatakan menyerap dan memesongkan tenaga ombak, melindungi infrastruktur dan populasi pesisir pantai.
Tetapi, keadaan di Indonesia semakin terdesak berikutan satu hingga 20 sentimeter kawasan daratan 'hilang' di sepanjang pantai utara Jawa pada setiap tahun.
Kawasan daratan besar dijangka lenyap menjelang 2100 berdasarkan trajektori perubahan iklim semasa.
Binaan benteng juga mempunyai kesan negatif seperti memusnahkan pantai, menolak hakisan ke arah laut dan mengganggu ekosistem serta komuniti nelayan.
Di kawasan seperti Puerto Rico dan New Caledonia, tembok laut telah runtuh akibat pukulan ombak kuat yang turut menghakis pasir di permukaan bawahnya.
"Ia menyebabkan kos alam sekitar dan sosial yang besar. Projek itu membawa kepada kehilangan habitat pinggir pantai selain menghalang pergerakan haiwan dan manusia di laut," kata Profesor Melanie Bishop di Macquarie University, Australia.
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022 memberi amaran tembok laut hanya menjadi penyelesaian sementara dan boleh memburukkan lagi kesan perubahan iklim.
Sesetengah pakar percaya kaedah berasaskan alam semula jadi seperti pokok bakau dan terumbu merupakan alternatif lebih efektif.
Alternatif lain
Bagi penternak ketam, Rasjoyo, 38, hakisan pantai bukanlah masalah teori kerana dia bersama ratusan penduduk pernah menetap di perkampungan Semonet yang telah dinaiki air.
Desa tersebut kini terletak kira-kira 20 minit perjalanan dengan bot dari darat.
"Kampung kami terus tenggelam. Ia berubah secara ketara pada setiap bulan. Tembok laut yang dicadangkan buat pertama kali pada 1995 sudah terlambat. Kawasan semakin mendap dari hari ke hari," katanya.
Pakar mendapan tanah di Institut Teknologi Bandung, Heri Andreas berkata, alternatif lain ialah dengan membina tembok laut separa atau bersegmen.
"Di beberapa bahagian, mungkin dengan membina benteng pantai atau meninggikan infrastruktur pantai sudah memadai. Saya berharap dapat mengemukakan cadangan ini kepada pentadbiran Prabowo sebelum projek itu bermula," jelasnya.
Di Bedono, penduduk berharap masalah itu segera diatasi setelah kawasan perkuburan terpaksa dipindahkan, baru-baru ini.
"Bina apa sahaja bentuk sekatan supaya air laut tidak terus naik," menurut Karminah. - AFP