Ibu bapa perlu bertanggungjawab, dikenakan tindakan undang-undang

Iklan
Anuar Ahmad

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mengenakan tindakan undang-undang terhadap ibu bapa pelajar yang melakukan kesalahan sebagai salah satu strategi membendung krisis moral dan tingkah laku agresif di kawasan sekolah.

Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, langkah itu bagi memastikan ibu bapa memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap kelakuan anak-anak mereka, bukan menyerahkan segalanya kepada sekolah.

Iklan
Iklan

“Apabila kita bercakap tentang salah laku, sahsiah dan moral dari perspektif pendidikan, segala-galanya bermula dari keluarga, bukan sekolah. Sekolah hanyalah penyokong kepada asas yang dibentuk di rumah.

“Sekiranya anak mereka melakukan kesalahan jenayah, saya mencadangkan agar tindakan undang-undang turut dikenakan terhadap ibu bapa.

Iklan

“Tidak boleh anak sahaja dihukum, ibu bapa juga mesti didakwa kerana mengabaikan tanggungjawab terhadap anak di bawah jagaan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Jumaat, kerajaan dilaporkan bercadang untuk menaikkan had umur pengguna media sosial daripada 13 kepada 16 tahun.

Iklan

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kaedah pendaftaran bagi seseorang individu juga akan dibuat menerusi semakan dokumen rasmi kerajaan.

Mengulas lanjut, ujar Anuar, pelbagai kajian telah membuktikan bahawa media sosial memberi pengaruh yang sangat kuat terhadap salah laku dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, walaupun keputusan mengehadkan penggunaan media sosial kepada individu bawah 16 tahun mungkin tidak popular dalam kalangan anak muda, kerajaan tetap perlu melaksanakannya demi kepentingan jangka panjang generasi akan datang.

“Keputusan seperti ini memang tidak popular dan mungkin akan menimbulkan rasa tidak puas hati tetapi demi memastikan generasi muda kita terpelihara serta terkawal, kerajaan perlu menunjukkan komitmen.

“Saya percaya pada akhirnya ibu bapa akan berterima kasih kepada kerajaan kerana ketegasan ini membantu mengawal anak-anak mereka daripada pengaruh negatif media sosial,” ujarnya.

Kata beliau, selain undang-undang dan dasar, kerajaan juga perlu menumpukan perhatian dari aspek pengukuhan institusi keluarga khususnya dalam kalangan keluarga miskin atau ibu bapa yang tidak berkemampuan.

“Kalau ibu bapa terlalu miskin atau sakit hingga tidak mampu mengurus anak-anak, kerajaan perlu masuk campur dan bantu mereka.

“Anak-anak daripada keluarga miskin sepatutnya diberikan tempat di asrama supaya mereka tidak terpengaruh dengan gejala negatif,” tambah beliau.