ISTANBUL - Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron menegaskan keperluan pengunduran sepenuhnya Israel dari Semenanjung Gaza serta pelaksanaan penyelesaian dua negara, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu panggilan telefon pada Ahad, kedua-dua pemimpin membincangkan perkembangan di Gaza dan usaha untuk menamatkan peperangan sambil mengukuhkan keselamatan serta kestabilan di seluruh Asia Barat.
Mereka turut menekankan"keperluan segera untuk meringankan penderitaan kemanusiaan rakyat Palestin,” menurut laporan itu.
Kedua-duanya juga menegaskan kepentingan mengambil"langkah-langkah praktikal ke arah mencapai keamanan yang adil dan menyeluruh berasaskan penyelesaian dua negara.”
Perjanjian gencatan senjata di Gaza berdasarkan pelan yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkuat kuasa pada 10 Oktober.
Perjanjian itu merangkumi pengunduran berperingkat pasukan Israel, pertukaran tahanan, kemasukan segera bantuan kemanusiaan serta perlucutan senjata kumpulan Palestin Hamas.
Gencatan senjata itu menamatkan peperangan berdarah yang bermula pada 8 Oktober 2023, yang menyaksikan serangan Israel yang disokong AS mengorbankan lebih 68,000 nyawa serta memusnahkan 90 peratus infrastruktur awam Gaza.
Pada September lepas, semasa sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 10 lagi negara mengiktiraf Negara Palestin, menjadikan jumlah keseluruhan pengiktirafan kepada 157 daripada 193 negara anggota PBB, menurut Kementerian Luar Palestin. - Bernama-Anadolu