SHAH ALAM - Belanjawan 2026 menggalakkan lebih banyak penyertaan pelbagai pihak termasuk sektor swasta dalam usaha memerangi budaya rasuah di negara ini.
Langkah itu susulan pengumuman kerajaan yang menyediakan insentif potongan cukai pendapatan kepada syarikat dan individu yang menyumbang kepada program pencegahan rasuah serta inisiatif pembangunan komuniti seperti Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani.
Setiausaha Agung Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (Gasma), Firdaus Akbar Yacob berkata, ia merupakan satu inisiatif positif yang bukan sahaja memperkukuh agenda antirasuah, tetapi turut memberi manfaat kepada masyarakat melalui pelaksanaan program kebajikan.
"Dengan penglibatan sektor swasta bagi program sebegini, kerajaan dan agensinya akan lebih mudah untuk memupuk kesedaran berkenaan jenayah rasuah.
"Di samping itu, ia turut memberi peluang kepada mereka untuk menyumbang kepada program yang disediakan oleh kerajaan dan memberi kelebihan di dalam pemotongan cukai," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan insentif potongan cukai pendapatan kepada syarikat dan individu yang menyumbang kepada program pencegahan rasuah serta inisiatif pembangunan komuniti seperti Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani.
Langkah itu bertujuan menggalakkan penglibatan sektor swasta secara lebih aktif dalam agenda sosial dan tadbir urus negara.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada 10 Oktober, program pencegahan rasuah anjuran masyarakat sivil yang diiktiraf Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diluluskan sebagai projek berkepentingan nasional.
Ujar Firdaus Akbar, pengumuman insentif itu juga dijangka menarik minat lebih banyak syarikat untuk memperkukuh pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sedia ada.
“Kerjasama antara sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan memperluas jaringan manfaat sosial serta memberi kesan positif kepada kedua-dua pihak dalam melaksanakan sesuatu program.
“Ini juga membantu memperkukuh semangat kebersamaan antara kerajaan, NGO dan sektor swasta dalam membina masyarakat lebih berintegriti,” ujar beliau.
Bagaimanapun, Firdaus Akbar menegaskan agar pelaksanaan inisiatif berkenaan dijalankan dengan penuh amanah dan telus bagi mengelak sebarang penyelewengan atau penyalahgunaan.
“Harapan saya agar pelaksanaan inisiatif ini tidak menjurus ke arah konflik kepentingan atau ditunggang untuk tujuan politik dan keuntungan semata-mata.
“Pihak berkuasa perlu memantau setiap sumbangan agar tiada pihak mengambil kesempatan, khususnya dalam isu potongan cukai,” kata beliau.