SHAH ALAM - Kerajaan disaran melaksanakan tiga perkara bagi mengurangkan beban pemandu e-hailing termasuk menaikkan had subsidi sekurang-kurangnya 1,000 liter sebulan bagi yang bekerja sepenuh masa.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ia kerana golongan berkenaan berperanan penting dalam mengurangkan kesan kecacatan sistem pengangkutan awam dan memudahkan pengangkutan rakyat di negara ini.
“Kedua, menetapkan kadar khas subsidi petrol untuk pemandu separuh masa agar mereka tidak terus terhimpit oleh dasar berat sebelah ini.
“Ketiga, mendedahkan data dan justifikasi sebenar di sebalik angka 600 liter yang ditetapkan. Adakah ia berpaksikan realiti penggunaan atau sekadar keputusan politik untuk menampal kelemahan fiskal kerajaan?” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Terdahulu, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) mendakwa kerajaan gagal membezakan antara subsidi petrol untuk kegunaan peribadi dan kuota bahan api bagi tujuan pekerjaan berikutan perbezaan itu memberi kesan terus kepada pendapatan ribuan pemandu e-hailing.
Ujar Tun Faisal, dasar pelaksanaan BUDI95 dengan had subsidi petrol hanya 600 liter untuk pemandu e-hailing sepenuh masa disifatkan sebagai dasar mendera rakyat kecil dan menutup mata terhadap penderitaan sebenar di jalan raya.
“Apakah kerajaan tidak sedar bahawa tanpa pemandu e-hailing ini, bandar-bandar besar akan lumpuh?
“Apakah mereka lupa bahawa rakyat kecil inilah yang menggerakkan ekonomi harian, bukan menteri yang duduk selesa di pejabat berhawa dingin?
“Ada pemandu e-hailing yang terpaksa bekerja 14 jam sehari semata-mata untuk menampung kos hidup, tetapi kerajaan masih bangga kononnya ‘menyantuni rakyat’,” ujarnya,
Menurut beliau, teguran Penghantar berhubung kebimbangan terhadap isu berkenaan juga didakwa tidak mendapat sebarang maklum balas dari kerajaan.
“Kerajaan lebih sibuk mempertahankan angka penjimatan subsidi di atas kertas daripada memastikan keadilan sosial di lapangan.
“Kerajaan mesti sedar bahawa rakyat tidak boleh mengisi perut, membayar bil dan memenuhkan tangki minyak hanya dengan slogan Madani,” menurut beliau.