Lelaki bunuh anak perempuan, cederakan isteri selepas bertengkar

Iklan
Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan polis selepas disyaki membunuh anak perempuannya yang berusia 14 tahun dan mencederakan isterinya.

MUMBAI (India) – Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan polis selepas disyaki membunuh anak perempuannya yang berusia 14 tahun dan mencederakan isterinya dalam kejadian di kawasan Vakola, Mumbai, awal minggu ini.

Menurut laporan The Times of India, suspek dikenali sebagai Suleman Razzak Kujra, dipercayai bertindak di luar kawalan selepas pertengkaran rumah tangga di kediaman mereka di Shivnagar Chawl, Old CST Road, Kalina, Santacruz.

Iklan
Iklan

Dalam kejadian pada 15 Oktober lalu, suspek didakwa menyerang isterinya, Naseema (35), dan anak perempuan mereka, Naseema Asgari (14), menggunakan objek tumpul yang berat

Anak mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala isterinya masih dirawat di hospital dalam keadaan kritikal.

Iklan

Ketua Unit 8 Cawangan Jenayah Mumbai, Inspektor Laxmikant Salunke, berkata suspek melarikan diri sejurus selepas kejadian dengan mematikan telefon bimbitnya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kes ini disiasat di bawah peruntukan Akta Bharatiya Nyay Sanhita berkaitan kesalahan membunuh dan mencederakan,” katanya.

Iklan

Susulan kejadian itu, Cawangan Jenayah Mumbai menubuhkan pasukan khas dan menjalankan siasatan selari bagi mengesan lokasi persembunyian suspek.

Hasil analisis teknikal dan risikan lapangan, polis akhirnya berjaya mengesan suspek yang bersembunyi di kampung halamannya di negeri Bihar sebelum menahannya berhampiran kawasan tersebut.

Siasatan awal mengesahkan penglibatan lelaki itu dalam kejadian berkenaan dan beliau telah diserahkan kepada Balai Polis Vakola untuk tindakan lanjut.

Polis kini sedang berusaha mengenal pasti motif sebenar serangan tersebut, selain memburu senjata yang digunakan dalam kejadian tragik itu.

Kes berkenaan turut menggemparkan penduduk tempatan kerana ia berlaku di kawasan perumahan padat di tengah bandar Mumbai dan melibatkan seisi keluarga sendiri.

Pihak berkuasa memberi jaminan bahawa siasatan akan diteruskan dengan teliti bagi membawa pesalah ke muka pengadilan.