'Belajar tinggi tapi niaga tepi jalan?'

Iklan
Nur Lily Shahira cekal menjual aksesori wanita. Foto Sinar Harian – ADILA SHARINNI WAHID

DALAM dunia yang sering dinilai atas dasar status dan penampilan, graduan muda dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini memilih jalan berbeza dengan berniaga aksesori wanita di pasar malam termasuk rantai dan gelang tangan yang boleh diubah suai khas.

Nur Lily Shahira Mohd Jazlan, 26, mahu membuktikan bahawa maruah sebenarnya terletak pada usaha dan kejujuran dalam mencari rezeki halal selain terus cekal tatkala dikeji insan sekeliling.

Iklan
Iklan

Nur Lily Shahira menjual pelbagai aksesori seperti gelang, rantai tangan dan cincin. Foto Sinar Harian – ADILA SHARINNI WAHID

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis, Nur Lily Shahira pernah bekerja di bahagian pentadbiran sebuah syarikat kontraktor dengan gaji bulanan RM1,800.

Iklan

Namun, beban kerja yang tidak sepadan dengan pendapatan membuatkan dia tekad mencari jalan keluar dan memilih untuk mengubah haluan hidupnya.

“Gaji tak cukup nak tampung komitmen keluarga, sewa rumah dan ansuran kereta.

Iklan

“Akhirnya saya pilih berniaga, masa lebih fleksibel dan rezeki pun luas,” katanya kepada Sinar Harian.

Nur Lily Shahira (kiri) memakaikan gelang yang siap dibuat khas kepada pelanggan cilik. Foto Sinar Harian – ADILA SHARINNI WAHID

Tanpa bantuan, dia memulakan perniagaan kecil menjual beg tangan pada Ogos tahun lalu dengan modal sendiri.

Khemah, meja dan stok pertama dibeli hasil simpanan bahkan hujan atau panas bukanlah alasan, dia tetap teguh setiap hari meneruskan perniagaan.

Kesusahan bukan perkara baharu baginya kerana kedua ibu bapanya turut berniaga di pasar malam, ibunya menjual kosmetik, manakala bapanya menjual beg lelaki.

Dari situ, Nur Lily Shahira belajar erti berdikari dan sabar menunggu rezeki.

Nur Lily Shahira (dua dari kanan) bersama pekerja melayani pelanggan. Foto Sinar Harian – ADILA SHARINNI WAHID

Namun, perjalanan itu tidak mudah apabila ada ketikanya dia menjadi bahan sindiran keluarga sendiri.

“Ada saudara pernah kata, belajar tinggi-tinggi tapi berniaga tepi jalan saja, macam-macam lagilah pandangan serong mereka.

“Masa tu memang terasa hina, tapi saya pujuk diri sendiri, menangis dalam diam dan teruskan juga untuk berniaga,” ceritanya jujur.

Kini, perniagaan LS Collection miliknya makin bertambah pelanggan yang berminat untuk mendapatkan pelbagai aksesori seperti gelang, rantai tangan dan cincin selain boleh diubah suai mengikut kehendak pelanggan.

“Pelanggan boleh pilih daripada stok sedia ada atau mahu yang dibuat khas seperti tambah nama dan hiasan lain.

“Saya boleh buatkan jika pelanggan mahu menambah hiasan pada gelang tangan atau rantai hasil belajar daripada YouTube,” katanya.

Nur Lily Shahira menggunakan kemahiran yang dipelajari daripada YouTube untuk menyiapkan rantai tangan ditempah pelanggan. Foto Sinar Harian – ADILA SHARINNI WAHID

Dia juga aktif memanfaatkan platform TikTok untuk mempromosikan produknya ketika berniaga di pasar malam dan pernah tular hingga melonjakkan jualan.

“Dalam berniaga, kena ikut trend dan sentiasa tambah baik produk.

“Persaingan memang banyak dan paling penting jaga layanan kepada pelanggan dan jujur dalam urus niaga,” katanya yang kini meraih pendapatan jauh lebih baik berbanding ketika bekerja pejabat dahulu.

Lily juga pernah difitnah dan dituduh meniru perniagaan orang lain, namun enggan membalas, sebaliknya, dia memilih untuk memperkukuh semangat dan terus berinovasi.

“Mereka tuduh saya upah orang untuk selidik perniagaan orang lain, sedangkan saya tak pernah terpikir pun macam tu.

“Saya tak balas tapi saya jadikan perkara itu cabaran untuk lebih maju dalam perniagaan dan mahu memiliki kedai sendiri dengan mengeluarkan koleksi aksesori berjenama LS Collection,” katanya.