BEREGU badminton wanita negara, Low Zi Yu–Noraqilah Maisarah Ramdan, menamatkan cabaran di Kejohanan Remaja Dunia 2025 dengan pingat perak selepas tewas kepada gandingan China, Tan Ke Xuan–Wei Yue Yue dalam aksi akhir di Guwahati, India, pada Ahad.
Pasangan pilihan ketiga kejohanan itu memberi tentangan sengit sebelum tunduk 13-15, 17-19 dalam pertarungan selama 37 minit.
Iklan
Iklan
Kekalahan itu menyaksikan Zi Yu sekali lagi kempunan gelaran juara dunia selepas turut muncul naib juara edisi 2024 di Nanchang, China ketika bergandingan dengan Dania Sofea Zaidi yang tidak dapat beraksi kali ini akibat kecederaan.
Bagi Noraqilah Maisarah, pencapaian tersebut melengkapkan prestasi cemerlangnya selepas turut meraih gangsa dalam beregu campuran bersama Loh Ziheng sebelum ini.
Biarpun gagal membawa pulang emas, prestasi beregu muda itu dianggap petanda positif terhadap perkembangan skuad pelapis wanita negara yang semakin hampir menyaingi kuasa besar badminton dunia.