SHAH ALAM – Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan memastikan mekanisme pemantauan yang kukuh dilaksanakan dalam pembinaan projek mega Kota Madani di Putrajaya yang bernilai RM4 bilion.
Presidennya, Raymon Ram berkata, projek berskala besar seperti itu perlu menitikberatkan ketelusan dan akauntabiliti pada setiap peringkat pelaksanaan, bukan selepas ia siap.
"Hasrat kerajaan membangunkan bandar moden berteraskan rakyat amat baik, namun tiada projek awam seharusnya diteruskan atau dipercepatkan tanpa pengawasan bebas dan sistem pemantauan yang jelas.
"Skala dan kompleksiti projek itu menuntut tadbir urus yang proaktif agar ia benar-benar menjadi contoh pembangunan bandar mampan dan inklusif seperti yang diharapkan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Gesaan itu dibuat susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 Oktober lalu yang mahu pembinaan Kota Madani dipercepatkan serta diberi tumpuan penuh oleh Putrajaya Holdings selaku pemaju utama.
Raymon menjelaskan, Akta Perolehan Kerajaan 2025 yang bakal diperkenalkan menyediakan rangka kerja perundangan bagi memperkukuh ketelusan, persaingan serta akauntabiliti dalam perolehan awam.
“Akta ini memperkenalkan peraturan seragam untuk semua peringkat kerajaan, mewajibkan pendedahan konflik kepentingan, dan mengenakan hukuman terhadap manipulasi bidaan serta penjualan kontrak,” katanya.
Bagaimanapun katanya, akta itu masih belum mewajibkan pemantauan luar secara bebas, sekali gus menimbulkan jurang tadbir urus terutama bagi projek berisiko tinggi seperti Kota Madani.
Raymon menegaskan, pemantauan tidak akan melambatkan pembangunan, sebaliknya memperkukuh hasil projek dan meningkatkan kepercayaan awam terhadap pelaksanaannya.
Beliau mencadangkan kerajaan melaksanakan perjanjian integriti dengan pelantikan pemantau pakar bebas atau profesional neutral bagi memastikan ketelusan di setiap peringkat.
“Kota Madani memenuhi ciri projek berisiko tinggi, nilainya melebihi RM1 bilion, dilaksanakan melalui kerjasama awam-swasta dan mempunyai kepentingan strategik kepada rakyat. Maka pengawasan masa nyata bukan pilihan, tetapi keperluan,” katanya.
Projek Kota Madani dibangunkan di Presint 19, Putrajaya, melibatkan kawasan seluas 41 hektar dengan 10,000 unit kediaman, kemudahan komuniti, ruang hijau dan infrastruktur awam moden yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2032.