BUKIT MERTAJAM – “Assalamualaikum Daus, esok abang tak kerja tau, isteri aku dengan anak aku kena bunuh dekat rumah...”
Demikian luahan pilu seorang lelaki selepas menemukan isteri dan anak perempuannya mati dibunuh di rumah sewa mereka di Kampung Juru, di sini pada malam Sabtu.
Rakaman suara berdurasi 20 saat yang tular di media sosial itu memaparkan lelaki berkenaan dipercayai suami mangsa dalam keadaan sebak ketika memaklumkan kepada rakan kerjanya bahawa dia tidak dapat hadir bekerja berikutan tragedi yang menimpa keluarganya.
Nada tangis dan rintihan dalam rakaman itu menyentuh hati netizen yang rata-rata meluahkan rasa simpati serta mendoakan agar lelaki berkenaan diberi kekuatan menghadapi dugaan berat tersebut.
Menerusi hantaran di media sosial, beberapa pengguna mendakwa mengenali wanita berusia 51 tahun itu yang disifatkan sebagai seorang penjual kuih yang baik serta rajin membantu keluarga mencari pendapatan.
“Kami pun baru tahu 10 minit lepas, masih terkejut. Kak Su baik sangat, rajin berniaga kuih, roti, macam-macam dia jual,” tulis seorang pengguna.
Pada Sabtu, media melaporkan dua beranak maut dipercayai dibunuh dengan kejam dalam kejadian di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Juru.
Mayat wanita berkenaan ditemukan di tingkat bawah, di bahagian dapur dengan kepalanya hampir putus manakala anak perempuan berusia 11 tahun ditemui berlumuran darah di tingkat atas dalam keadaan meniarap.
Mayat dua beranak itu ditemui oleh suaminya kira-kira jam 7.30 malam sebelum dia memaklumkan kejadian kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.