TANGKAK - Polis membuka siasatan berhubung satu insiden pergaduhan yang tular di platform TikTok dipercayai berlaku di kawasan perumahan Bukit Gambir.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular itu memaparkan beberapa individu terbabit dalam pergaduhan di kawasan berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara jiran tetangga.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, semua individu yang terlibat telah dikenal pasti dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan video atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta menimbulkan kekeliruan awam,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kejadian kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di talian 06-9781222 atau balai polis berdekatan.
Sementara itu, video yang tular menunjukkan penyodok sampah, penyapu dan gayung antara objek yang digunakan dalam pergaduhan membabitkan lima wanita dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di sebuah taman perumahan di Bukit Gambir pada Jumaat.
Difahamkan, kejadian berlaku pada jam 7.39 pagi dan dirakam menerusi CCTV sebelum tular di media sosial.