KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) berhubung hak negeri itu terhadap geran khas 40 peratus daripada hasil Persekutuan sebagai satu kemenangan bermakna.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan tersebut mengesahkan kedudukan Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan menuntut supaya kerajaan Persekutuan menunaikan tanggungjawabnya terhadap negeri berkenaan.
“Kami lega dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kerajaan Persekutuan menjalankan semakan semula terhadap geran bagi tahun-tahun yang tertunggak dalam tempoh 90 hari.
“Keputusan ini mengesahkan hak Sabah seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya di bawah Perkara 112C dan 112D,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Hajiji berkata, kemenangan itu turut mengiktiraf peranan penting kerajaan negeri yang konsisten memperjuangkan hak perlembagaan Sabah, termasuk dalam semua mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Kami telah memperjuangkan isu ini tanpa henti melalui setiap saluran rasmi, termasuk mesyuarat MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, serta melalui banyak surat rasmi yang dihantar ke Putrajaya. Tidak sekali pun kami membiarkan perkara ini terhenti,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha kerajaan negeri memperjelaskan rekod sejarah, termasuk Share of Growth of Federal Revenue Derived from Sabah bagi tahun 1964 hingga 1968, membuktikan bahawa niat dan kesan Perkara 112C dan 112D kekal tidak berubah sejak pembentukan Malaysia.
“Penerimaan bayaran interim adalah tanpa menjejaskan hak perlembagaan negeri,” ujarnya.
Tambah beliau, dengan keputusan mahkamah itu, Sabah berharap kerajaan Persekutuan akan menunaikan tanggungjawab seperti yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia.
Katanya, kerajaan negeri akan berunding dengan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan perintah mahkamah dalam semangat kerjasama dan saling menghormati, supaya hak perlembagaan Sabah dapat direalisasikan sepenuhnya.
Dalam pada itu, Hajiji turut memuji tindakan SLS membawa isu berkenaan ke mahkamah sebagai langkah penting dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan negeri.
Dalam keputusan yang dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Celestina Stuel Galid, mahkamah turut mengarahkan kedua-dua kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mencapai persetujuan bersama dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan, seperti yang dikehendaki di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.