APABILA kerajaan melancarkan rancangan subsidi petrol RON95 yang baharu, niatnya baik.
Pemandu teksi diberikan 800 liter sebulan, pemandu e-hailing 600 liter, manakala penunggang p-hailing menerima bantuan berdasarkan jumlah kerja mereka.
Atas kertas, ia kelihatan adil. Namun pada hakikatnya, ia telah menimbulkan kekecewaan senyap dalam kalangan ribuan rakyat Malaysia yang bergantung pada pekerjaan ini untuk meneruskan kehidupan.
Ramai pemandu e-hailing kini berasa seolah-olah mereka sekali lagi diketepikan.
Mereka menjalankan perkhidmatan awam yang sama, membawa penumpang seperti pemandu teksi, mematuhi peraturan lesen yang sama, serta menanggung kos yang serupa. Tetapi mereka menerima kurang.
Bagi penunggang p-hailing pula, yang menghabiskan masa seharian menempuh kesesakan lalu lintas untuk menghantar makanan dan bungkusan, sokongan yang diterima pula bergantung pada sejauh mana kerajaan mempunyai data yang mencukupi untuk membuktikan mereka layak.
Alasan bahawa kita “kekurangan data boleh sahih” mendedahkan jurang besar antara dasar dan realiti.
Platform seperti Grab, FoodPanda dan ShopeeFood sudah pun mempunyai setiap kilometer yang dijejak, setiap perjalanan direkodkan.
Data itu wujud. Yang tiada hanyalah keupayaan kerajaan untuk menyambungkan sistemnya dengan industri, supaya keputusan dibuat berasaskan fakta, bukan andaian.
Perlu diingat, e-hailing bukan muncul begitu sahaja. Kerajaan sendiri yang mewujudkan industri ini apabila menghalalkan perkhidmatan e-hailing melalui Akta Pengangkutan Awam Darat pada 2017 menerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kini dimansuhkan.
Pada masa itu, Malaysia dipuji sebagai antara negara terawal di dunia yang mengawal selia mobiliti digital.
Janjinya jelas: mewujudkan padang persaingan yang sama rata antara teksi dan e-hailing.
Tetapi janji itu pudar apabila SPAD dimansuhkan sebelum dasar tersebut sempat dilaksanakan sepenuhnya.
Hari ini, kita menyaksikan dua kumpulan pemandu yang melakukan kerja sama tetapi di bawah peraturan berbeza.
Satu mendapat lebih, yang lain kurang. Satu diraikan sebagai pengangkutan awam, yang lain dianggap kerja sampingan.
Isu ini bukan sekadar jumlah liter, ia adalah soal keadilan. Apabila dasar lebih memihak kepada sistem lama dan meminggirkan sistem baharu, mesej yang dihantar ialah menyesuaikan diri dengan perubahan merupakan kesilapan, sedangkan ia sepatutnya dihargai.
Penyelesaiannya tidak rumit. Jika matlamatnya memastikan bantuan diberikan kepada mereka yang bergantung penuh pada pemanduan atau penghantaran sepenuh masa, maka gunakanlah data yang sudah tersedia.
MOT, APAD, dan platform boleh membangunkan sistem pengesahan bersama yang menjejaki siapa yang aktif, berapa kerap, dan sejauh mana.
Pekerja sepenuh masa boleh menerima kuota lebih tinggi, manakala pekerja separuh masa mendapat sokongan secara berkadar. Tiada tekaan, tiada politik, hanya data dan keadilan.
Kita juga boleh memperkukuh ketelusan dengan menilai semula dasar ini secara menyeluruh, melalui proses tadbir urus baik yang sepatutnya dilalui setiap peraturan baharu.
Ini bukan soal melambatkan, tetapi tentang melaksanakannya dengan betul agar perubahan seterusnya tidak mewujudkan satu lagi lapisan ketidaksamarataan.
Inilah hakikatnya: industri teksi wajar menerima sokongan, tetapi pekerja e-hailing dan p-hailing juga berhak mendapat penghormatan yang sama.
Mereka bukan pesaing, tetapi rakan penyedia mobiliti awam. Setiap perjalanan, setiap penghantaran, setiap kilometer yang dipandu menjadikan bandar kita berfungsi dan kehidupan kita terus terhubung.
Jika kita benar-benar mahu membina Malaysia MADANI yang menilai keadilan, maka kita mesti menganggap inovasi sebagai sebahagian daripada kemajuan, bukan sebagai perkara sampingan.
Jalan mungkin sama, tetapi peraturannya perlu adil. Keadilan, seperti bahan api, tidak seharusnya kehabisan untuk mereka yang menggerakkan negara.
** Wan Agyl Wan Hassan ialah pengasan dan Ketua Pegawai Eksekutif My Mobility Vision