Pendidikan sebagai teras pembinaan bangsa, masa depan negara

Iklan
Sejarah membuktikan bahawa negara yang kuat bukan hanya dibina atas asas ekonomi, tetapi atas kualiti rakyatnya dan kualiti rakyat itu bermula di bilik darjah melalui sistem pendidikan.

TITAH Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas pada 19 Januari 2026 bukan sekadar peringatan simbolik, tetapi merupakan satu amanah besar kepada seluruh rakyat Malaysia.

Dalam titah tersebut, Baginda menegaskan bahawa “sistem pendidikan negara perlu terus diperkasakan sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan negara.”

Iklan
Iklan

Ungkapan ini mengangkat pendidikan sebagai tunjang kepada kelangsungan negara bangsa, bukan hanya sebagai alat mobiliti sosial atau laluan ke pasaran kerja semata-mata.

Hakikatnya, masa depan Malaysia tidak ditentukan semata-mata oleh kekayaan sumber semula jadi, kekuatan ketenteraan atau kemajuan teknologi.

Iklan

Semua itu boleh menjadi sia-sia jika manusia yang menggerakkannya gagal dibentuk dengan nilai, integriti, kebijaksanaan dan rasa kebersamaan.

Sejarah membuktikan bahawa negara yang kuat bukan hanya dibina atas asas ekonomi, tetapi atas kualiti rakyatnya dan kualiti rakyat itu bermula di bilik darjah melalui sistem pendidikan yang bermatlamatkan pembinaan bangsa dan negara.

Iklan

Namun, dalam wacana awam hari ini, pendidikan sering disempitkan kepada ukuran yang bersifat teknikal seperti keputusan peperiksaan, kedudukan ranking, kebolehpasaran graduan dan kebolehan menjana pendapatan.

Ukuran ini penting, tetapi tidak mencukupi. Titah Baginda mengangkat semula makna pendidikan dalam erti yang lebih besar iaitu sebagai proses pembentukan manusia seimbang yang bukan sahaja berilmu, tetapi berakhlak, berfikir secara kritis, mempunyai tanggungjawab sosial dan berjiwa kebangsaan.

Jika pendidikan hanya melahirkan individu yang cemerlang secara akademik tetapi kosong nilai, kita mungkin berjaya membina tenaga kerja, namun gagal membina warganegara.

Tanpa akar nilai bersama, kemajuan material boleh bertukar menjadi krisis moral dan perpecahan sosial. Inilah inti sebenar yang tersirat dalam titah Baginda tersebut: pendidikan ialah projek pembinaan bangsa, bukan semata-mata projek ekonomi.

Satu lagi perspektif yang perlu diteliti ialah realiti sistem pendidikan hari ini yang menunjukkan landskap semakin terpisah. Ia terbahagi kepada tiga aliran utama iaitu Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan sekolah swasta termasuk sekolah antarabangsa.

Walaupun setiap aliran mempunyai sejarah, peranan dan kekuatan tersendiri, pemisahan ini membawa implikasi besar terhadap usaha membina satu bangsa yang berkongsi identiti serta pengalaman bersama.

SK pada asalnya diwujudkan sebagai tapak integrasi nasional — ruang pertemuan anak-anak daripada pelbagai latar kaum, bahasa dan budaya.

Namun kebelakangan ini, SK semakin kehilangan kepelbagaian, khususnya penyertaan daripada kaum bukan Melayu. SJK pula dikenali dengan kekuatan dalam aspek disiplin dan pencapaian akademik, tetapi sering beroperasi dalam persekitaran budaya yang lebih homogen.

Sekolah swasta dan antarabangsa pula, tanpa disedari, mewujudkan jurang kelas sosial yang semakin ketara apabila hanya mampu diakses oleh kelompok tertentu.

Lebih membimbangkan, wujud pola yang sukar dinafikan: pelajar dari SK cenderung melanjutkan pelajaran ke universiti awam, manakala pelajar dari SJK, sekolah swasta dan antarabangsa lebih ramai memasuki universiti swasta.

Ini bukan soal betul atau salah, tetapi merupakan petunjuk kepada stratifikasi sosial yang semakin mengakar melalui sistem pendidikan. Jika tidak ditangani dengan bijaksana, jurang ini boleh berkembang menjadi tembok psikologi yang memisahkan generasi muda mengikut kelas sosial dan latar etnik.

Negara bangsa tidak dibina melalui perlembagaan dan slogan semata-mata, tetapi melalui pengalaman hidup bersama sejak kecil dengan belajar di bilik darjah yang sama, bermain di padang yang sama, serta berkongsi kejayaan dan kegagalan yang sama.

Jika anak-anak membesar dalam “gelembung identiti” yang terpisah, sukar untuk mereka membina rasa kebersamaan apabila dewasa.

Perpecahan pendidikan ini berisiko melahirkan warganegara yang saling tidak memahami, mudah terperangkap dalam stereotaip antara kaum dan kelas, serta mempunyai jurang empati yang melemahkan perpaduan nasional. Inilah cabaran sebenar yang disentuh secara tersirat dalam titah Seri Paduka Baginda.

Ia bukan serangan terhadap kepelbagaian, tetapi satu peringatan bahawa kepelbagaian tanpa jambatan boleh berubah menjadi perpecahan.

Justeru, inisiatif memperkasa sistem pendidikan perlu dilihat secara menyeluruh dan berani. Memperkasa tidak bermaksud memansuhkan kepelbagaian, tetapi menyelaraskan visi kebangsaan merentasi semua aliran.

Kepelbagaian boleh terus diraikan, tetapi mesti diikat dengan nilai bersama yang membentuk identiti nasional.

Antara langkah strategik yang wajar dipertimbangkan termasuklah memperkukuh peranan Bahasa Melayu sebagai lingua franca nasional di semua aliran, tanpa menafikan kepentingan bahasa ibunda dan bahasa antarabangsa. Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi simbol kebersamaan dan ruang pertemuan jiwa.

Selain itu, kurikulum kenegaraan dan sejarah perlu diseragamkan dari segi falsafah dan nilai agar generasi muda memahami perjalanan negara secara jujur, kritis dan inklusif.

Program integrasi silang aliran juga perlu dilaksanakan secara sistematik iaitu bukan sekadar program bermusim, tetapi sebagai sebahagian daripada pengalaman pendidikan.

Sekolah Kebangsaan pula wajar diperkasa semula sebagai pilihan utama semua kaum melalui peningkatan kualiti, kemudahan, penguasaan bahasa serta keyakinan awam. Pada masa yang sama, sekolah swasta perlu dikawal selia agar selari dengan aspirasi kebangsaan, bukan hanya mengejar keuntungan atau status eksklusif.

Titah Seri Paduka Baginda bukan sekadar peringatan, tetapi merupakan seruan untuk membina masa depan bersama. Jika sistem pendidikan terus terpisah tanpa jambatan, kita mungkin melahirkan generasi yang berjaya secara individu, tetapi lemah sebagai bangsa.

Maka sudah tiba masanya kita melihat pendidikan bukan sebagai pilihan peribadi semata-mata, tetapi sebagai satu tanggungjawab nasional.

Ini kerana negara bangsa yang kuat tidak lahir daripada sistem yang terpisah, tetapi daripada nilai yang dikongsi bersama.