UPSI terajui kebitaraan pendidikan di bawah kepimpinan proaktif

Iklan
UPSI mengukuhkan kedudukan sebagai institusi rujukan antarabangsa.

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memasuki tahun 2026 dengan satu kelebihan strategik yang jarang dimiliki oleh institusi pendidikan tinggi awam di Malaysia, iaitu kesinambungan kepimpinan, kejelasan visi dan keupayaan pelaksanaan yang telah dibuktikan sepanjang tahun 2025.

UPSI kini bukan sekadar mengekalkan peranannya sebagai universiti pendidikan utama negara, malah secara berperingkat mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi rujukan antarabangsa dalam bidang pendidikan dan pembangunan bakat pendidik.

Iklan
Iklan

Tahun 2025 boleh disifatkan sebagai tahun pemantapan prestasi dan keberhasilan, manakala tahun 2026 pula muncul sebagai tahun penjajaran aspirasi besar institusi dengan dasar nasional, negeri dan global melalui tema “Peneraju Kebitaraan Pendidikan”.

Salah satu pencapaian paling signifikan UPSI pada tahun 2025 ialah kejayaannya berada dalam kelompok kedudukan 101–125 dunia bagi bidang Education Studies dalam THE World University Rankings 2026.

Iklan

Pencapaian ini mencerminkan pengiktirafan global terhadap kekuatan ekosistem pendidikan UPSI yang meliputi latihan guru, penyelidikan pendidikan, inovasi kurikulum serta keterlibatan komuniti dan industri.

Lebih penting, kejayaan ini menjadi asas kepada sasaran strategik UPSI untuk menempatkan diri dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia dalam bidang pendidikan menjelang tahun 2030, satu sasaran yang realistik dan berasaskan prestasi. Ia menunjukkan UPSI kini bergerak daripada fasa recognition kepada fasa leadership dalam landskap pendidikan global.

Iklan

Aspirasi UPSI 2026 selari secara langsung dengan pengumuman dasar besar negara oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, berhubung Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035. Rancangan ini menandakan peralihan falsafah pendidikan tinggi negara daripada pendekatan elitis kepada pendekatan keadilan sosial dan pembinaan negara.

Antara komponen utama RPTM yang disepadukan dalam perancangan UPSI termasuk jaminan tempat di institusi pengajian tinggi awam kepada pelajar cemerlang, pendidikan percuma kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan pelajar daripada keluarga miskin tegar, peluasan akses melalui pertambahan tempat pengajian serta pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

UPSI, sebagai universiti pendidikan, mengambil peranan strategik dalam memperkukuh Subjek Mata Pelajaran Umum (MPU) serta pembangunan guru masa hadapan yang seimbang dari segi ilmu, nilai dan kemanusiaan.

Di peringkat kementerian, hala tuju ini diperkukuh melalui tujuh Tujahan Tahun 2026 yang digariskan oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.

Tujahan tersebut, khususnya penekanan terhadap kemenjadian siswa, tadbir urus yang lebih tangkas serta penggunaan kecerdasan buatan sebagai pemangkin transformasi pendidikan tinggi, diterjemahkan oleh UPSI dalam bentuk pelaksanaan institusi yang konkrit dan berasaskan data.

UPSI turut memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pembangunan Negeri Perak di bawah kepimpinan Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.

Lima fokus utama kerajaan negeri, termasuk pengukuhan ekonomi, transformasi digital dan kecerdasan buatan dalam perkhidmatan awam serta pemerkasaan budaya kerja, sejajar dengan peranan UPSI sebagai institusi sauh (anchor institution) bagi daerah Muallim.

Melalui projek komuniti, edu-pelancongan kampus, Program Kampung Angkat MADANI serta kolaborasi dengan agensi negeri, UPSI tidak lagi berfungsi sebagai universiti terasing, sebaliknya sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi wilayah.

Salah satu kekuatan utama UPSI ialah penstrukturan semula pengurusan bakat secara sistemik. Melalui tujuh inisiatif bakat unggul yang merangkumi pembangunan, pemilihan dan pemerkasaan bakat, UPSI memperkenalkan Model Warga UPSI | BITARA, iaitu Budiman, Inovatif, Transformatif, Adab, Relevan dan Aktif.

Pelaksanaan Skim Perkhidmatan Tetap UPSI (SPTUPSI), sistem pengambilan staf baharu myjobs@upsi 2.0, pengukuhan kepakaran melalui EXPERT@UPSI 2.0 serta sistem kenaikan pangkat i-PROMOTE Fasa II yang berasaskan, antaranya, Indeks Produktiviti Akademia (IPA), menandakan peralihan daripada pengurusan sumber manusia berasaskan tempoh perkhidmatan kepada pengurusan berasaskan prestasi dan impak.

Dalam bidang inovasi dan penyelidikan, UPSI melaksanakan enam inisiatif utama yang disokong oleh pelaburan strategik 4P bernilai RM35 juta di peringkat fakulti.

Pendekatan ini melibatkan penubuhan dua Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence) baharu, lima Kumpulan Minat Khas (Special Interest Group), 40 penglibatan industri serta 30 projek komuniti yang memberi kesan langsung kepada masyarakat.

Melalui inisiatif Industry on Campus @ UPSI, setiap fakulti digalakkan membina hubungan langsung dengan industri bagi menghasilkan produk, inovasi dan syarikat pemula (startup) yang melibatkan staf serta pelajar.

Usaha ini diperluas melalui jaringan antarabangsa seperti Appmedia Inc. dari Korea, Finnish Centre of Expertise in Education and Development (FinCEED) dan Finnish National Agency for Education (EDUFI).

Inisiatif 5 Research Booster Initiatives (5RBI@UPSI) pula memperkukuh ekosistem penyelidikan melalui pendanaan alternatif, co-funding industri, geran khas berfokuskan kecerdasan buatan dalam pendidikan dan transformasi holistik serta pembangunan bakat penyelidik pascadoktoral.

Melalui agenda AI4ALL, UPSI memastikan kecerdasan buatan dimanfaatkan secara inklusif oleh staf dan pelajar. Pelaksanaan infrastruktur AI, literasi AI melalui Google Gemini, penggunaan NotebookLM Plus untuk pelajar serta pembangunan Large Language Model UPSI menjadikan UPSI antara universiti awam terawal memanfaatkan AI secara menyeluruh.

Transformasi ini disokong oleh pembangunan Data Warehouse, naik taraf rangkaian melalui UPSI NetX, pengukuhan keselamatan siber melalui Cyber Xecure serta platform digital seperti HOME 2 U yang menggalakkan ekonomi mikro pelajar.

UPSI menjadikan pembangunan mahasiswa sebagai agenda teras melalui pengurusan bakat pelajar. UPSI memperkukuh nilai adab melalui 5 Minutes Adab Talk yang menekankan amalan 3S, iaitu senyum, salam dan sapa. UPSI juga menjadi universiti awam projek rintis bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dengan tiga modul utama dan sasaran 1,000 pelajar diploma pada Jun 2026.

UPSI memperluas hubungan universiti–keluarga melalui Open Day setiap semester serta membina jaringan kebajikan melalui Mahasiswa Prihatin yang melibatkan 500 pelajar berdaftar dalam skuad fasiliti, skuad santun dan skuad kebajikan.

UPSI turut melaksanakan lapan Dapur Siswa MADANI di kolej kediaman bagi menyokong agenda kebajikan selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Dalam aspek inovasi pelajar, UPSI menggerakkan Student Innovation Competition Exhibition yang menghimpunkan projek tahun akhir sebagai pentas pengiktirafan inovasi mahasiswa.

UPSI turut membangunkan sistem STIDEX sebagai indeks kesejahteraan dan perkhidmatan pelajar yang menyokong keputusan tadbir urus berasaskan data, disokong oleh inisiatif Counsellor on Wheel di bawah Jabatan Bimbingan dan Kaunseling serta pembinaan ruang komuniti alumni melalui Alumni Square.

Aspirasi 2026 turut menuntut ketahanan kewangan. Untuk itu, UPSI menetapkan sasaran penjanaan RM155 juta berdasarkan KPI Pelan Strategik Tahun 2026, dengan RM90 juta melalui inisiatif akademik dan RM65 juta melalui inisiatif bukan akademik.