Tragedi Shing Xuen bukti kegagalan tanggungjawab bersama – Jamaliah

Iklan
Jamaliah (dua dari kiri) ketika melawat keluarga mendiang bersama pemimpin DAP pada petang Khamis.

SHAH ALAM - Semua pihak diseru mengambil iktibar daripada tragedi menimpa remaja perempuan, mendiang Yap Shing Xuen, 16, dengan menginsafi tanggungjawab kolektif dalam melindungi keselamatan dan kesejahteraan anak-anak.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, insiden tragis itu seharusnya menyatukan masyarakat dan menjadi titik tolak untuk semua pihak lebih bertanggungjawab.

Iklan
Iklan

“Kes seperti ini sepatutnya hadir untuk menyedarkan kita, menyatukan kita, supaya setiap daripada kita menjalankan tanggungjawab penuh kerana ketika ini, ia masih belum mencukupi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jamaliah berkata, beliau berkesempatan hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Shing Xuen, bersama para pemimpin DAP pada petang Khamis.

Iklan

“Walaupun sebelum ini saya tidak mengenali mendiang mahupun keluarganya, namun ketika berjumpa dengan ibu bapa mendiang, saya rasa sedih yang tidak terhingga.

"Biarpun saya masih belum bergelar ibu, saya tak dapat bayangkan sekiranya perkara ini berlaku kepada ahli keluarga atau rakan rapat sendiri, apatah lagi kepada seorang anak yang dikasihi,” katanya.

Iklan

Menurutnya, beliau turut bertemu dengan ibu mendiang, Wong Lee Ping, yang memohon agar pengorbanan anaknya tidak menjadi sia-sia, serta tragedi seumpama itu tidak lagi berulang.

“Puan Lee Ping juga berharap orang ramai tidak lagi menyebarkan maklumat tidak benar mengenai mendiang. Mendiang merupakan seorang anak yang sangat baik, aktif dalam sukan dan amat mengasihi ibu bapa serta keluarganya.

“Mendiang tidak pernah bercinta atau mengenali pelaku, namun banyak cerita palsu yang tular seperti dakwaan cinta ditolak atau dakwaan lebih berat telah menyakiti hati keluarga yang sedang berduka,” katanya.

Beliau menegaskan, penyebaran maklumat tidak tepat bukan sahaja mengganggu siasatan polis, malah menambah penderitaan keluarga yang sudah cukup tertekan.

“Saya berharap selepas ini, apa sahaja yang kita lakukan haruslah dengan niat membantu keluarga mendiang, bukan untuk memuaskan rasa ingin tahu atau ketaasuban netizen,” katanya.

Jamaliah turut menegaskan, setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan tragedi seumpama ini tidak berulang.

“Kaunselor, guru dan pengurusan sekolah, polis serta penguat kuasa, media dan pengguna media sosial, pembuat dasar, kementerian, ibu bapa, pelaku serta masyarakat, semua mempunyai peranan.

“Langkah seterusnya adalah untuk kita semua mengaku tanggungjawab kolektif ini dan lakukan yang terbaik, tidak kira untuk mendiang Shing Xuen mahupun Allahyarham Zara Qairina,” tambahnya.