ALOR SETAR – Peningkatan gejala sosial dalam kalangan remaja di negara ini semakin membimbangkan dan penggunaan gajet secara tidak terkawal antara punca utama mereka terdedah kepada kandungan tidak bermoral.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, pendedahan awal kepada media sosial dan internet tanpa pemantauan yang sewajarnya telah menyumbang kepada gangguan tingkah laku serta peningkatan kes jenayah sosial seperti rogol dan penyebaran bahan lucah.
“Dulu kita ada sistem internet yang menetapkan laman mana boleh diakses oleh pengguna bawah 18 tahun dan mana yang tidak. Hari ini nampak mudah diakses.
“Memang betul, kes sebegini pernah berlaku dahulu, tetapi ketika itu belum ada media sosial. Sekarang, bahan lucah dan ganas boleh diakses dengan mudah, termasuk oleh kanak-kanak. Ini akan mempengaruhi minda mereka untuk melakukan kesalahan,” katanya pada sidang media petang Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas beberapa kejadian rogol bawah umur dan terbaru di Baling apabila empat suspek remaja lelaki merogol seorang remaja perempuan dalam kejadian berasingan di beberapa lokasi termasuk di bilik darjah sejak April lalu.
Menurut Yusrizal, era digital kini telah mengubah cara kanak-kanak belajar dan berinteraksi, namun pengaruh gajet yang berlebihan boleh membawa kepada masalah sosial yang lebih serius.
“Apa yang berlaku di sekolah hari ini, atau di mana-mana sekalipun, banyak berpunca daripada pengaruh gajet.
"Sebab itu kami menyambut baik cadangan Kementerian Komunikasi untuk memperkenalkan garis panduan penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak dan remaja,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan gajet seharusnya lebih tertumpu kepada pendidikan dan pembinaan sahsiah, bukannya hiburan semata-mata.
“Menghalang remaja dan kanak-kanak daripada menggunakan media sosial adalah langkah yang baik. Kalau nak bergaul, biarlah secara realiti, bukan secara maya. Kita tak mahu mereka memuat naik kandungan tidak senonoh,” katanya lagi.
Beliau turut merujuk kepada langkah China yang melarang penggunaan TikTok bagi kanak-kanak bawah 8 tahun sebagai contoh kawalan yang wajar diteliti oleh Malaysia.
Tambah Yusrizal, remaja berusia 18 tahun ke atas mungkin sudah mampu berfikir dan membuat pilihan sendiri, tetapi bagi yang di bawah umur, mereka perlu diberi pendidikan agama dan nilai murni sejak awal.
Menurutnya lagi, kanak-kanak bawah umur 7 tahun tidak sepatutnya diberikan akses kepada gajet atau internet kerana ia boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan mental dan moral mereka.
“Kami pernah jalankan kajian dan terbitkan buku ketika itu, sebelum wujudnya gajet.
"Malah, kami juga menasihatkan agar kanak-kanak tidak menonton televisyen kerana ia boleh membentuk imaginasi dan teladan yang tidak baik, terutama jika kandungannya tidak sesuai,” jelasnya.