Lelaki Jepun dipenjara dua tahun kerana bunuh kucing

Iklan
Antara gambar keadaan kucing dibunuh yang tular di Facebook sebelum ini.

VALLETTA, MALTA – Seorang lelaki warga Jepun dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda €15,000 (kira-kira RM73,000) selepas mengaku bersalah membunuh beberapa ekor kucing di sekitar Sliema, Malta.

Tertuduh, Okamura Satoshi, turut dilarang memelihara haiwan selama 40 tahun, menjadikannya hukuman paling berat pernah dijatuhkan dalam kes kekejaman terhadap haiwan di negara itu menurut laporan MaltaToday.

Iklan
Iklan

Mahkamah pada Selasa memerintahkan hukuman penjara dan denda tersebut dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

Selepas menjalani hukuman, Satoshi akan dihantar pulang ke Jepun.

Iklan

Kes pembunuhan kucing itu mula tular pada 17 Jun lepas selepas beberapa ekor kucing dilaporkan diserang dan dibunuh di St Alfons Street, Our Saviour Street dan St Charles Street di Sliema.

Susulan siasatan dan pemantauan polis selama beberapa hari, Satoshi ditahan kira-kira jam 3 pagi di Triq Manuel Dimech, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan maklumat orang awam.

Iklan

Ketika ditahan, polis menemui sarung tangan getah, makanan kucing serta pakaian yang sepadan dengan rakaman CCTV menunjukkan seekor kucing dibaling ke tanah.

Satoshi turut melawan ketika ditahan dan mencederakan dua anggota polis sebelum rumahnya digeledah.

Kes berprofil tinggi itu turut mendapat perhatian aktivis haiwan yang melancarkan kempen bagi mengesan suspek dan berjaya mengumpul lebih €5,000 (kira-kira RM24,600) sebagai ganjaran kepada pemberi maklumat.

Dalam prosiding, pihak pendakwaan mendedahkan Satoshi pernah memberitahu pegawai parol bahawa dia menganggap kucing seperti wanita mata duitan.

Mahkamah yang dipengerusikan Majistret Nadine Sant Lia menjatuhkan hukuman penjara dua tahun, denda €15,000 serta perintah rawatan tiga tahun terhadap tertuduh.

Kes itu dikendalikan oleh Inspektor Eliot Magri, manakala peguam Adreana Zammit dan Marion Camilleri mewakili tertuduh.

Satoshi masih mempunyai hak untuk merayu keputusan tersebut.