Kita selalu tewas pada janji manis

Iklan
Satu panggilan telefon dengan nada meyakinkan sudah cukup untuk menjerat mangsa.

SATU panggilan telefon dengan nada meyakinkan sudah cukup untuk menjerat mangsa.

Mana tidaknya, dalam sekelip mata, simpanan bertahun-tahun boleh lesap dan begitulah mudahnya jenayah siber beroperasi hari ini.

Iklan
Iklan

Tanpa senjata atau kekerasan, penipu hanya menggunakan kata-kata tersusun rapi untuk memancing kepercayaan dan menabur janji manis sebagai umpan.

Modus operandi cukup senang menyebabkan hampir setiap hari ada yang menjadi mangsa tipu muslihat digital.

Iklan

Jenayah ini bukan sekadar klik di laman palsu, sebaliknya panggilan telefon kini menjadi senjata paling ampuh.

Lebih membimbangkan, kini scammer turut memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk memperdaya mangsa.

Iklan

Teknologi ini mampu meniru suara, wajah dan gaya pertuturan individu sebenar, lantas menjadikan penyamaran semakin meyakinkan dan sukar dikesan.

Penjenayah menyamar sebagai wakil syarikat, pegawai bank, polis, wakil mahkamah atau pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), lengkap dengan suara tenang dan skrip profesional yang mampu menimbulkan panik mahupun teruja kepada mangsa.

Kes terbaru di Rompin melibatkan pesara berusia 65 tahun yang rugi lebih RM535,000 selepas diperdaya kononnya ditawarkan berlian bernilai RM205,000 dan mangsa membuat beberapa transaksi bagi menebus hadiah itu sebelum menyedari dirinya ditipu.

Ini bukan kes terpencil, ramai lagi menjadi mangsa termasuk pesara kerajaan, usahawan dan golongan profesional berpendidikan tinggi terjerat dengan pelbagai modus operandinya.

Penipu sebenarnya tidak memilih sasaran, sebaliknya mereka menilai kelemahan dan menggunakan serangan psikologi halus sebagai senjata.

Mereka juga mampu mencipta tekanan emosi, menimbulkan ketakutan dan mencuri kepercayaan serta dalam keadaan panik sehingga mangsa menyerahkan bukan sahaja wang tetapi juga kawalan diri.

Pada 18 Februari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan sebanyak 35,368 kes jenayah siber direkodkan sepanjang tahun 2024 dengan kerugian berjumlah RM1.57 bilion, meningkat 2.53 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes meningkat secara konsisten sejak dua tahun lalu, daripada 25,479 kes pada tahun 2022 dengan kerugian RM851 juta kepada 34,495 kes pada tahun 2023 yang melibatkan kerugian RM1.22 bilion.

Golongan warga emas kekal antara mangsa utama, di mana bagi tempoh antara tahun 2021 hingga 2023, mereka menanggung kerugian sebanyak RM552.5 juta dan data berkenaan didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Melihat data itu, kita dapat andaikan penipuan digital kini menjadi ancaman keselamatan baharu yang bukan sahaja menjejaskan kewangan individu, tetapi juga kepercayaan rakyat terhadap sistem kewangan negara.

Menyedari hakikat ini, kerajaan dalam Belanjawan 2026 memperuntukkan RM20 juta bagi memodenkan sistem dan kepakaran forensik digital terutamanya untuk Bahagian D11 PDRM dalam menangani jenayah siber.

Sebahagian peruntukan itu disalurkan kepada Pusat Respons Scam Nasional (NSRC) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk mempertingkat keupayaan siasatan serta perlindungan data awam.

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan penubuhan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi bagi memperkukuh pertahanan digital negara termasuk menangani penipuan berasaskan AI dan jenayah rentas sempadan.

Pada masa sama, Rang Undang-Undang Jenayah Siber baharu sedang digubal bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 untuk meliputi ancaman moden dan menyesuaikan undang-undang dengan bentuk jenayah digital masa kini.

Tidak terhenti di situ, Bank Negara Malaysia (BNM) pula memperkenalkan dasar keselamatan baharu seperti ‘Kill Switch’, yang membolehkan pengguna membekukan akaun serta-merta apabila mengesyaki penipuan.

Akses perbankan dalam talian kini dihadkan kepada peranti berdaftar sahaja manakala SMS One-Time Password (OTP) digantikan dengan pengesahan lebih selamat seperti Secure Verification.

Undang-undang dan langkah keselamatan hanyalah pagar, namun ia tidak bermakna jika kita masih leka kerana scam bukan sekadar jenayah kewangan, tetapi juga jenayah psikologi.

Penjenayah ini mencuri melalui kepercayaan yang diberikan. Justeru, masih ramai alpa terhadap keselamatan digital dan mudah percaya pada panggilan kedengaran rasmi, mesej kelihatan sahih serta pautan yang menyerupai laman sebenar.

Pendidikan digital mesti diperluas di sekolah, tempat kerja dan komuniti manakala pihak bank perlu sentiasa proaktif memaklumkan pelanggan tentang taktik terbaharu.

Kita sebagai pengguna pula mesti berani menyemak setiap panggilan mencurigakan. Prinsip mudah tetapi penting perlu ditanam dalam diri iaitu jangan percaya sebelum sahih dan jangan panik sebelum pasti.

Kerana itulah ruang yang dimanfaatkan penipu, kerana mereka tahu manusia cepat percaya dan mudah terpedaya dengan kata-kata indah.

Setiap kali ada yang menjadi mangsa, kita mudah menuding kepada scammer. Namun, jarang kita mengakui bahawa mangsa wujud kerana kepercayaan terlalu murah dan ketamakan sukar dikawal.

Janji manis kadang kala lebih berbahaya daripada pisau kerana ia tidak memaksa, tetapi membuat kita rela menyerahkan semuanya termasuk wang.

Jadi, setiap panggilan dan mesej bukan sekadar ujian kewaspadaan, tetapi ujian hati serta akal kita sendiri. Tepuk dada, tanya diri, siapa sebenarnya yang membuka pintu kepada penipuan itu?

*Norawazni Yusof ialah wartawan Sinar Harian Pahang