"KALAU ada yang tidak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia.”
Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-15 pada 19 Januari lalu, sudah cukup untuk menunjukkan penegasan terhadap asas kenegaraan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadi teras pembinaan bangsa sejak merdeka.
Sebagai rakyat Malaysia, harus difahami bahawa bahasa Melayu bukan sekadar medium komunikasi, sebaliknya lambang jati diri, alat perpaduan dan asas sistem kenegaraan Malaysia.
Justeru, penolakan terhadap bahasa kebangsaan sama ertinya dengan penolakan terhadap kontrak sosial dan kerangka perlembagaan yang menyatukan rakyat berbilang kaum.
Titah itu juga menegaskan bahawa sebarang usul untuk mengiktiraf sistem pendidikan lain wajib menerima bahasa Melayu dan sejarah Malaysia.
Tanpa bahasa kebangsaan sebagai teras, sistem pendidikan akan gagal menjalankan fungsi pembinaan bangsa dan negara.
Ketegasan Yang di-Pertuan Agong itu turut mendapat reaksi daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu badan yang bertanggungjawab untuk membina, memperkaya dan memartabatkan bahasa Melayu.
Dalam kenyataan medianya, DBP menjunjung kasih atas titah Seri Paduka Baginda dan menegaskan bahawa perkara itu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Akta berkenaan memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan termasuk institusi kerajaan, bantuan kerajaan dan swasta seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pendidikan 1996.
Komitmen ini turut diperkukuh melalui Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertarikh 29 Oktober lalu yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya dalam semua urusan rasmi kerajaan.
Dalam konteks serantau dan antarabangsa, ketegasan Malaysia mempertahankan bahasa kebangsaan bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Negara jiran seperti Indonesia misalnya, mewajibkan bahasa Indonesia melalui perlembagaan dan Akta Bahasa. Bahasa itu digunakan dalam pendidikan, dokumen rasmi serta penamaan institusi manakala bahasa daerah dibenarkan tetapi tidak mengatasi bahasa kebangsaan.
Malah, Indonesia melangkah lebih jauh apabila pada Januari 2026, kerajaan memulakan usaha menyeragamkan ejaan rasmi nama negara-negara asing berdasarkan rujukan United Nations Group of Experts on Geographical Names (UNGEGN).
Langkah itu bertujuan memastikan ketepatan linguistik dalam dokumen rasmi, pendidikan, media dan komunikasi antarabangsa, sekali gus menonjolkan komitmen serius terhadap bahasa rasmi negara.
Thailand pula menggunakan bahasa Thai sepenuhnya dalam sistem pendidikan dan pentadbiran kerajaan dengan sekolah kerajaan mewajibkan bahasa Thai sebagai bahasa pengantar utama.
Di negara maju seperti Perancis, Akta Toubon 1994 mewajibkan penggunaan bahasa Perancis dalam pendidikan, pentadbiran, undang-undang, iklan, kontrak kerja dan siaran awam.
Jepun dan Korea Selatan juga menegakkan bahasa ibunda sebagai bahasa utama pendidikan dan pentadbiran.
Tidak dinafikan penguasaan bahasa asing juga penting namun bahasa kebangsaan mesti kekal sebagai teras dan menghormati bahasa Melayu bermaksud menghormati Perlembagaan, sejarah dan masa depan Malaysia.
*Farah Shazwani Ali ialah wartawan Sinar Harian