INSIDEN tragis membabitkan seorang pelajar yang ditikam rakan di sebuah sekolah di Lembah Klang bukan sekadar kejadian terpencil, sebaliknya mencerminkan kelemahan serius dalam sistem keselamatan institusi pendidikan di negara ini.
Pendedahan ibu mangsa bahawa suspek melompat dari atas tandas sebelum menikam anaknya menunjukkan wujud ruang keselamatan yang longgar, khususnya di kawasan sensitif seperti tandas dan blok pelajar.
Pendedahan ini menimbulkan persoalan tentang tahap pengawasan, kawalan akses serta keberkesanan prosedur keselamatan sedia ada.
Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat bagi pelajar, namun insiden ini menunjukkan sebaliknya.
Ketiadaan sistem pemantauan seperti kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko dan kekurangan pengawal keselamatan terlatih menjadikan pelajar terdedah kepada bahaya tanpa disedari.
Lebih membimbangkan, ia berlaku dalam persekitaran yang sepatutnya dikawal rapi oleh pihak sekolah.
Malah penganalisis keselamatan berpandangan, kejadian seperti ini bukan hanya berpunca daripada kecuaian fizikal tetapi kelemahan sistemik dalam menangani isu disiplin serta kesihatan mental pelajar.
Langkah pencegahan awal seperti intervensi kaunseling dan pemantauan berterusan terhadap pelajar berisiko tinggi perlu diperhebat.
Kerajaan dan Kementerian Pendidikan wajar menilai semula garis panduan keselamatan sekolah termasuk memperketat akses ke kawasan sensitif, menambah peralatan pengawasan serta mengadakan audit keselamatan berkala.
Pada masa sama, ibu bapa dan komuniti sekolah perlu dilibatkan dalam sistem amaran awal bagi mengesan sebarang kelakuan luar biasa.
Insiden ini seharusnya menjadi penggera besar kepada semua pihak bahawa keselamatan pelajar bukan boleh dikompromi, sebaliknya mesti menjadi keutamaan dalam setiap dasar pendidikan negara.