Kecurian kabel rel: Mungkin sudah tiba masa undang-undang dipinda

Iklan
Laporan eksklusif Sinar Harian mengenai kes kecurian kabel pada 10 Januari lalu.

KES kecurian kabel rel dikhuatiri semakin membimbangkan sehingga menuntut tindakan luar biasa daripada kerajaan, termasuk keperluan untuk meminda undang-undang sedia ada.

Pendedahan Sinar Harian menerusi laporan muka hadapan pada 10 Januari 2026 mengenai sindiket curi kabel tren yang semakin berani, malah dikesan membawa senjata, menjadi isyarat jelas bahawa jenayah itu telah melangkaui tahap biasa.

Iklan
Iklan

Pengakuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Selasa mengenai keperluan mendesak untuk meneliti dan meminda peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan kes kecurian kabel rel turut memperlihatkan keseriusan kerajaan dalam menangani isu berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa perkara itu telah dibincangkan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dalam pertemuan melibatkan semua operator perkhidmatan kereta api.

Iklan

Pertemuan tersebut melibatkan operator seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), serta Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), baru-baru ini.

Hakikatnya, kecurian kabel rel bukan lagi sekadar jenayah harta benda, sebaliknya telah berkembang menjadi ancaman terhadap keselamatan awam.

Iklan

Sistem rel yang bergantung sepenuhnya kepada kabel bagi tujuan isyarat dan komunikasi berdepan risiko kemalangan serius sekiranya berlaku gangguan tanpa kawalan.

Gangguan perkhidmatan akibat kecurian kabel turut memberi kesan domino terhadap ekonomi dan kehidupan seharian rakyat, daripada kelewatan tren hinggalah pembatalan perjalanan, sekali gus membebankan pengguna yang bergantung kepada pengangkutan awam.

Tanpa hukuman yang setimpal serta penguatkuasaan menyeluruh terhadap keseluruhan rantaian jenayah, masalah ini berisiko terus berulang dan semakin sukar dibendung.

Dalam konteks ini, mungkin sudah tiba masanya undang-undang sedia ada dipinda, malah langkah tersebut dilihat paling praktikal dan relevan bagi mewujudkan kesan pencegahan yang lebih berkesan.

Hukuman yang lebih berat dan setimpal berpotensi mengubah persepsi bahawa jenayah ini berbaloi untuk dilakukan, selain menghantar mesej jelas bahawa keselamatan awam tidak boleh dikompromi.

Pindaan undang-undang juga dilihat mampu membuka ruang kepada tindakan lebih menyeluruh terhadap keseluruhan rantaian jenayah, daripada pencuri sehinggalah pembeli kabel curi.

Sekiranya pindaan undang-undang berkaitan kecurian kabel rel benar-benar dilaksanakan, hukuman yang lebih berat dijangka mampu mengurangkan kegiatan kecurian kabel serta mengekang peningkatan kes pada masa hadapan.