SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 29 November depan sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) dengan penamaan calon pada 15 November manakala tarikh undi awal berlangsung pada 25 November.
Pilihan raya ini bakal menjadi medan ujian getir bukan sahaja kepada gabungan kerajaan negeri, tetapi kekuatan blok politik nasional yang kian terpecah.
Sabah sering menjadi penanda aras kepada kestabilan politik Borneo dan keputusan PRN kali ini dijangka memberi kesan langsung terhadap lanskap politik di peringkat Persekutuan.
Sejak pembentukan kerajaan negeri selepas PRN16 lalu, beberapa isu utama masih membelenggu rakyat Sabah termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pembangunan infrastruktur luar bandar.
Kegagalan menangani masalah asas ini boleh menjejaskan sokongan terhadap kerajaan sedia ada, khususnya dalam kalangan pengundi muda dan luar bandar yang semakin vokal.
Selain itu, keputusan SPR untuk tidak melaksanakan undi pos bagi rakyat negeri dibawah bayu itu di Semenanjung turut menimbulkan perdebatan.
Ia dilihat sebagai cabaran besar kepada penyertaan demokratik memandangkan ribuan anak Sabah kini bekerja atau belajar di luar negeri.
Isu ini berpotensi menjadi naratif utama kempen pembangkang yang mahu menggambarkan kerajaan tidak sensitif terhadap hak pengundi.
Dalam masa sama, persaingan antara parti tempatan dan nasional dijangka lebih sengit, sekali gus memberi tekanan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) yang dijangka akan berdepan cabaran mengekalkan sokongan dalam keadaan politik yang dinamik serta sukar dijangka.
Namun pada akhirnya, PRN17 bukan sekadar pertandingan untuk membentuk kerajaan negeri semata-mata, tetap medan penentuan hala tuju Sabah dalam konteks Malaysia Madani.
Hasil pilihan raya ini bakal memperlihatkan sama ada rakyat Sabah terus mempercayai status quo atau memilih perubahan baharu demi masa depan negeri terletaknya gunung tertinggi di Asia Tenggara.