TEMERLOH - Siapa sangka permainan melastik yang dulu sinonim dengan budak kampung kini kembali popular tapi dalam versi lebih moden dan selamat.
Dahulu, kanak-kanak kampung menggunakan lastik buatan tangan, biasanya daripada ranting kayu berbentuk 'Y' dan getah tiub basikal untuk memburu burung, tupai atau sekadar bersaing sesama rakan.
Dan di negeri ini, Persatuan Pelastik Rekreasi Pahang (PPRP) tekad menjadikan lastik sebagai sukan komuniti pilihan rakyat negeri itu sejak ditubuhkan pada 2023.
Presidennya, Mansur Kamarul Jamal berkata, lastik kini bukan sekadar hobi mengisi masa lapang, tetapi sudah menjadi aktiviti sukan ringan yang mampu menyihatkan badan dan mengasah tumpuan.
“Permainan ni nampak mudah, tapi sebenarnya banyak manfaat, boleh tingkatkan refleks, fokus dan ketahanan diri.
"Menariknya, lastik boleh dimainkan semua peringkat umur dan jantina” katanya ketika ditemui di Hari Sukan Negara (HSN) Daerah Temerloh di sini baru-baru ini.
Ujarnya, lastik menggunakan titanium, besi dan plastik serta bahan-bahan lain dengan mengekalkan reka bentuk yang sama sebagaimana lastik tradisional selain ada yang menghasilkan sendiri menggunakan kayu.
Jelasnya, harga lastik slingshot lingkungan RM10 hingga RM300 bergantung kepada bahan digunakan manakala untuk getah, beberapa jenis dan ketebalan bergantung kepada kekuatan.
Ujar Mansur, permainan itu turut menetapkan garis panduan keselamatan, jenis peluru yang digunakan serta kategori pertandingan seperti ketepatan sasaran, tembakan pantas dan gaya bebas.
"Lastik ini menggunakan dua jenis peluru iaitu mudball daripada tanah liat dan ball bearing.
"Untuk peringkat permulaan, gunakan mudball kerana ia pecah apabila kena sasaran dan lebih selamat berbanding peluru ball bearing lebih sesuai untuk mereka yang sudah mahir," tambahnya.
Katanya, kini persatuan itu dianggotai 47 termasuk 10 permain wanita yang aktif melastik di beberapa gelanggang latihan di Kuantan selain menganjurkan dan menyertai pelbagai pertandingan di seluruh negara.
"Kita juga menjalinkan kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan yang menyenaraikan acara lastik dalam program mereka," ujarnya.
Sementara itu, bagi seorang penjawat awam, Dahlia Mohamad Ali,50 aktif melastik dan mengakui seronok dengan permainan tersebut yang turut mengajarnya lebih fokus.
"Selain aktif sukan memanah sejak berusia 40 tahun, saya juga mula terlibat melastik selepas menerima ajakan rakan dan kini turut menjawat jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) persatuan ini," jelasnya lagi.