Pengasas Sapura tuntut hibah 14.85 juta saham dipulangkan selepas hampir tiga dekad

Iklan
Shahriman (tengah) menolak kerusi roda dinaiki Shamsuddin ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya pada Khamis.

PUTRAJAYA – Pengasas Sapura Holdings Sdn Bhd memohon Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengarahkan anak sulungnya memulangkan semula 14.85 juta unit saham yang dihibahkan hampir 30 tahun lalu, dalam masa 30 hari.

Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir selaku plaintif memfailkan permohonan berkenaan menerusi Tetuan Azhar Aziz & Associates pada 2 September lalu, dengan menamakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sapura Group, Tan Sri Shahril, 64, sebagai defendan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan dokumen yang difailkan, Shamsuddin, 94, memohon defendan menandatangani dan memulangkan semua surat cara pemindahmilikan bagi 14.85 juta unit saham biasa bernilai RM1 bagi setiap saham, mengikut Seksyen 105 Akta Syarikat 2016.

Katanya, setiausaha Sapura Holdings dan/atau pendaftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga perlu mendaftarkan surat cara pemindahmilikan saham atas nama plaintif dalam masa 30 hari dari tarikh penerimaan surat tersebut.

Iklan

Menurutnya, sebelum saham berkenaan dipindah milik dan didaftarkan atas nama defendan, ia merupakan milik mutlak plaintif.

Plaintif memberitahu, hibah daripada seorang bapa kepada anak, dibuat secara persetujuan lisan dalam suasana persefahaman dan semangat kekeluargaan tanpa pertelingkahan.

Iklan

Perkara berkenaan juga berada dalam pengetahuan adik-beradik yang lain, supaya hibah dihadiahkan kepada defendan dan anak yang lain.

“Pada 25 Jun lalu, plaintif telah menarik balik dan membatalkan hibah kepada defendan menerusi satu deklarasi bertulis, yang turut dilafazkan sendiri oleh plaintif.

“Deklarasi penarikan dan pembatalan hibah tersebut turut disaksikan saksi-saksi lain, jadi mahkamah perlu mengesahkan dan mensabitkan deklarasi berkenaan sebagai sah menurut hukum syarak,” katanya.

Pada 7 November 1997, plaintif telah menghibahkan saham miliknya kepada dua anak kandung secara lisan dalam Majlis Hibah di Bangunan Sapura di Jalan Enggang, Ulu Klang Kuala Lumpur.

Susulan itu, pada 2 September, plaintif memfailkan permohonan untuk mendapatkan pengesahan hibah tersebut kepada anak sulung, Shahril dan anak kedua, Pengarah Eksekutif dan Pemegang Saham Sapura Holdings, Datuk Shahriman, 56.

Ketika itu, beliau percaya, segala rukun hibah yang diberi kepada dua anak lelaki tersebut, selaku defendan pertama dan kedua, telah sempurna mengikut hukum.

Menurutnya, ketika itu dua defendan telah menjalankan tugas sebagai ahli lembaga pengarah dan pengurusan di syarikat tersebut, sebelum dan selepas hibah didaftarkan atas nama mereka.

“Oleh itu, plaintif memohon kepada mahkamah agar membenarkan permohonan tuntutan ini, selari peruntukan di bawah Seksyen 46(2)(b)(vi) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993),” katanya.