Pesara tentera gagal saman kerajaan isu pelarasan pencen

Iklan
Seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia gagal dalam kes saman pemulanya terhadap kerajaan dan dua lagi pihak, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, berhubung pelarasan pencen bagi pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia gagal dalam kes saman pemulanya terhadap kerajaan dan dua lagi pihak, di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, berhubung pelarasan pencen bagi pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Januari 2013.

Hakim, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan demikian selepas menolak saman pemula difailkan Rafique Ali Ahmad Nordin dan bagi pihak 3,210 bekas anggota ATM lain, selaku plaintif.

Iklan
Iklan

Semasa membaca alasan penghakiman, hakim berkata, mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan plaintif bahawa pencen bagi plaintif perlu dilaraskan setiap kali kerajaan mengeluarkan skim gaji baharu.

Sehubungan itu beliau berkata, mana-mana skim gaji yang tidak dikeluarkan hasil semakan semula gaji oleh Kerajaan Malaysia tidak akan membawa kepada pelarasan pencen.

Iklan

Katanya, pindaan syarat perkhidmatan ATM juga tidak terpakai kepada pesara yang telah berpencen sebelum pindaan itu berkuat kuasa.

“Peraturan itu hanya terpakai kepada anggota yang masih berkhidmat dan bersetuju menerima opsyen perubahan pelantikan, yang akan mengikat mereka kepada syarat perkhidmatan baharu.

Iklan

“Sehubungan itu, saya menolak saman pemula tersebut namun mengambil kira jasa plaintif kepada negara, saya tidak membuat sebarang perintah berhubung kos,” katanya yang turut menolak permohonan kerajaan untuk membatalkan saman berkenaan.

Sebelum ini, plaintif memfailkan saman itu pada 11 April terhadap Majlis Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga ketiga.

Dalam saman itu, plaintif memohon deklarasi bahawa tindakan defendan membayar pencen yang lebih rendah daripada sepatutnya diterima oleh plaintif dan 3,210 yang lain, sebagai salah serta melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Selesai prosiding, peguam, Datuk Dr Shukor Ahmad dan Datuk Baljit Singh Sidhu yang mewakili plaintif berkata, mereka akan memfailkan rayuan berhubung keputusan terbabit.

Dalam prosiding terbabit, defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan dan Peguam Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md Ali.