Dua pegawai bank mengaku tidak bersalah terima rasuah lebih RM100,000

Iklan
Salah seorang daripada dua pegawai bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Khamis, atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM107,040 berkaitan permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan yang melebihi had kelayakan. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dua pegawai bank pada Khamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM107,040 membabitkan permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan yang melebihi had kelayakan.

Tertuduh pertama, Syed Mohd Muhaimin Syed Mohd Mashrof, 42, berdepan 14 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM94,440 secara deposit tunai dalam akaun banknya daripada Roshanizam Roslan, 31, semasa bertugas sebagai Ketua Unit Pembiayaan Bank.

Iklan
Iklan

Ia sebagai upah kepada tertuduh kerana membantu memproses permohonan pembiayaan peribadi seorang pelanggan yang membuat permohonan serupa di beberapa institusi kewangan lain secara serentak sehingga menyebabkan pelanggan tersebut mempunyai beberapa pinjaman melebihi had kelayakannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Malayan Banking Berhad Cawangan Pusat Niaga Metro Prima di Kepong di sini antara 4 April 2023 hingga 9 Disember 2024 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Tertuduh kedua, Zayme Zanee Othman, 43, pula berdepan sembilan pertuduhan iaitu sebagai Ketua Unit Pembiayaan Bank menerima rasuah wang berjumlah RM12,600 secara pindahan dalam talian ke akaun banknya daripada akaun Mohd Farid Aswad Adzahar, 42.

Iklan

Ia sebagai upah kerana membantu memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan bank itu bagi tujuan serupa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Islamic Berhad Cawangan Dewan Persidangan Kompleks Perbadanan Putrajaya, Bangunan Annexe di Putrajaya antara 8 Sept 2022 hingga 16 Mei 2024 mengikut seksyen dan akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat menawarkan jaminan RM25,000 kepada Syed Mohd Muhaimin dan RM15,000 kepada Zayme Zanee dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport masing-masing diserahkan kepada mahkamah selain serta melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur dan Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan, selain tidak dibenarkan berkomunikasi dengan saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Peguam Arik Zakri Abdul Kadir dan Ahmad Kamal Abu Bakar yang mewakili kedua-dua tertuduh pula memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guam mereka memberikan kerjasama yang baik selain menanggung keluarga serta tiada rekod kesalahan lampau.

Hakim Rosli Ahmad membenarkan Syed Mohd Muhaimin dan Zayme Zanee masing-masing diikat jamin RM25,000 dan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon oleh pihak pendakwaan dan menetapkan 17 November ini untuk sebutan kes. - Bernama