IPOH – Pembangunan lima kawasan pertumbuhan baharu di Perak akan dilaksanakan selari dengan prinsip Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus Inklusif (i-ESG) dan Revolusi Perindustrian (IR) 5.0 bagi memastikan negeri kekal berdaya saing dan mampan dalam menghadapi arus perubahan teknologi global.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pendekatan itu diterapkan dalam pembangunan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV), Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP), Silver Valley Technology Park (SVTP) serta Taman Perindustrian Halal Perak (Perak HIP).
Menurutnya, penggunaan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) dan konsep IR 5.0 akan memperkasa kebolehan manusia bukan menggantikan tenaga kerja seperti yang sering disalah tafsirkan.
"Jangan ada kebimbangan bahawa AI akan mengambil alih kerja manusia. Sebenarnya, AI memperkasakan kemampuan kita kerana kebolehan manusia ada hadnya.
"Sebab itu, dalam semua pembangunan ini kita berkolaborasi dan menggunapakai teknologi baharu berkaitan AI. Kita tak boleh lagi bergantung kepada cara lama kerana teknologi maklumat sentiasa berubah setiap masa,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar 2.0 Why i-ESG dan IR 5.0 di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Cheah Pou Hian selaku penganjur program berkenaan.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, pendekatan berasaskan teknologi pintar dan mesra alam yang disentuh dalam seminar berkenaan dilihat melengkapi matlamat kerajaan negeri di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 bagi membangunkan ekonomi hijau dan komuniti berdaya tahan.
Sementara itu, Pou Hian dalam ucapan aluannya berkata, seminar berkenaan bertujuan memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar lebih memahami serta menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan keperluan kelestarian global.
"Tema ‘Why i-ESG & IR5.0’ bukan sekadar topik akademik tetapi satu seruan agar kita memahami mengapa ESG dan Revolusi Perindustrian Kelima menjadi teras ekonomi moden.
“Kita mahu menjadikan Perak negeri perintis dalam transformasi PKS berteraskan teknologi hijau dan ekonomi pintar,” katanya.
Menurutnya, seminar itu juga menjadi sebahagian daripada usaha menjayakan Pelan Tindakan Khas Komuniti Jelapang (PTKK DUN Jelapang) dengan kerjasama PLANMalaysia Perak, bagi memastikan komuniti setempat turut menikmati kemajuan sosial, ekonomi dan persekitaran.
Pou Hian menegaskan, PTKK bukan sekadar dokumen perancangan, sebaliknya pelan tindakan menyeluruh untuk meningkatkan kualiti hidup, merangsang pertumbuhan ekonomi dan membina komuniti pintar serta mampan di Jelapang.
Katanya, seminar berkenaan bukan program sehari tetapi titik mula kepada satu gerakan besar yang menghubungkan pengetahuan, teknologi dan nilai kemanusiaan.