BUDI95: Hanya suku daripada 200,000 pemandu e-hailing, p-hailing terima petrol 600 liter

Iklan
MASRIZAL

SHAH ALAM – Hanya suku atau satu perempat daripada hampir 200,000 pemandu aktif e-hailing dan p-hailing di seluruh negara dianggarkan layak menerima manfaat tambahan 600 liter petrol bersubsidi di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).

Presiden Malaysia E-Hailing & Delivery Organization (MEDO), Masrizal Mahidin berkata, ia berikutan syarat-syarat teknikal siling kelayakan inisiatif itu yang terlalu ketat dan tidak mengambil kira variasi model operasi sebenar.

Iklan
Iklan

Katanya, walaupun niat kerajaan untuk menyalurkan subsidi petrol secara bersasar amat dialu-alukan, namun pendekatan pelaksanaan sedia ada masih belum menggambarkan realiti sebenar operasi di lapangan.

“Antara syarat kelayakan yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang menjejaskan kelayakan ramai pemandu ialah keperluan melengkapkan sekurang-kurangnya 3,000 kilometer tempahan merentas semua platform berdaftar.

Iklan

“Namun berdasarkan pemerhatian dan aduan komuniti, data kilometer yang direkod oleh platform tidak mencerminkan jumlah jarak sebenar yang dilalui pemandu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Masrizal berkata, ia ekoran data tersebut hanya mengambil kira jarak dari lokasi jemputan ke destinasi penghantaran.

Iklan

“Misalnya ia dari Pickup Point A ke Drop-Off Point B sedangkan kos sebenar pemandu turut melibatkan jarak tambahan dari lokasi semasa (Point X) ke Pickup A dan juga dari Drop-Off B ke tempahan seterusnya (Next Pickup).

“Situasi ini menjadikan ramai pemandu aktif khususnya di luar bandar gagal mencapai had minimum yang ditetapkan walaupun hakikatnya mereka membelanjakan petrol yang jauh lebih tinggi,” ujarnya.

Beliau menegaskan, kelemahan dalam penyelarasan data dan metodologi pengiraan APAD bersama platform e-hailing menjadi punca utama berlakunya penyisihan yang tidak adil berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, MEDO menggesa kerajaan melaksanakan pendekatan ‘soft landing’ dalam pelaksanaan BUDI95 supaya ia tidak menjejaskan moral dan kepercayaan komuniti pemandu.

“Antara cadangan utama kami ialah pelaksanaan semula dasar ini secara berperingkat, dengan penilaian kelayakan berdasarkan tempoh aktif dan purata trip bulanan, bukan semata-mata jumlah kilometer.

“Tempoh penyesuaian (perlu diberi) sekurang-kurangnya tiga bula bagi membolehkan data sebenar dikumpul dan disemak semula,” tambahnya.

Menurut Masrizal, kerjasama langsung antara MOF, APAD dan organisasi komuniti pemandu seperti MEDO juga perlu dibuat bagi memastikan suara lapangan diambil kira sebelum dasar dimuktamadkan.

Selain itu, ujar beliau, pelaksanaan struktur tambang berbeza bagi warganegara dan bukan warganegara mesti diperkenalkan bagi mengelakkan ketirisan subsidi RON95 yang boleh dilaksanakan melalui pendaftaran aplikasi menggunakan nombor kad pengenalan serta pasport, bukan hanya nombor telefon seperti sistem semasa.

“Kegagalan memahami hakikat operasi e-hailing yang berasaskan ‘on-demand mobility’ boleh menghakis kepercayaan ribuan pemandu yang setiap hari menyumbang kepada nadi pengangkutan rakyat.

“Mereka bukan sekadar penyedia perkhidmatan, tetapi tenaga penggerak ekonomi mikro bandar dan luar bandar. Kerajaan harus melihat isu ini bukan dari lensa angka dan algoritma semata-mata, tetapi dari sudut keadilan sosial dan kesejahteraan ekonomi rakyat di lapangan,” jelasnya.

Tegasnya lagi, pendekatan lebih berhikmah, inklusif dan berasaskan realiti kerja sebenar akan menjadi asas kepada kelestarian sistem subsidi dan kestabilan sektor gig nasional.

Isnin lalu, MOF mengumumkan siling penggunaan BUDI95 kepada pemandu e-hailing sepenuh masa dinaikkan sekali ganda kepada 600 liter sebulan.

Bagaimanapun, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) pada Rabu mendakwa kerajaan gagal membezakan antara subsidi petrol untuk kegunaan peribadi dan kuota bahan api bagi tujuan pekerjaan berikutan perbezaan itu memberi kesan terus kepada pendapatan ribuan pemandu e-hailing.

Penghantar dalam kenyataannya berkata, realitinya pemandu e-hailing menggunakan kenderaan yang sama untuk bekerja dan kegunaan harian keluarga.