Berani bicara soal seks dengan anak

Iklan
Masyarakat masih menganggap perbualan tentang seks adalah sesuatu yang terlarang. Gambar hiasan

SETIAP kali berlaku kes jenayah seksual membabitkan pelajar sekolah seperti kes rogol bergilir di Melaka, masyarakat pasti bergema dengan nada yang sama: “Kembalikan kuasa rotan kepada guru! Guru sekarang terlalu lembut!

Benar, disiplin di sekolah perlu diperkasa namun dalam keghairahan menuntut hukuman keras, ramai terlupa bahawa isu moral dan jenayah seksual remaja tidak berpunca semata-mata daripada kelemahan sekolah atau sistem pendidikan tapi akar masalah ini sebenarnya tumbuh lebih awal di rumah, dalam ruang peribadi yang sepatutnya menjadi benteng awal pembentukan akhlak.

Iklan
Iklan

Realitinya, guru hari ini sudah menanggung pelbagai beban, mereka bukan sekadar mendidik akademik, malah menjadi kaunselor, penjaga emosi dan pengurus disiplin.

Walau setinggi mana pun peranan guru diperluas, mereka tetap tidak dapat menggantikan peranan ibu bapa dalam membentuk sahsiah dan moral anak-anak.

Iklan

Didikan nilai dan kawalan diri hanya boleh disemai di rumah tapi sebahagian ibu bapa masih menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik kepada sekolah.

Apabila anak berjaya, kita memuji keberkatan doa di rumah. Tetapi apabila anak terjebak dalam salah laku, jari segera menuding kepada pihak sekolah atau Kementerian Pendidikan.

Iklan

Realitinya, anak-anak remaja kini berdepan perubahan besar dari segi fizikal, hormon dan naluri.

Terutama remaja lelaki mengalami lonjakan hormon testosteron yang mendorong keinginan mencuba dan keghairahan seksual.

Ini fitrah yang perlu dikawal dengan ilmu dan bimbingan namun malangnya, masyarakat masih menganggap perbualan tentang seks adalah sesuatu yang terlarang.

Ibu bapa jarang berbicara secara terbuka tentang mimpi basah, zina atau batas pergaulan kerana berasa malu atau tidak tahu caranya.

Akibatnya, anak-anak belajar sendiri melalui internet, guru maya yang tidak berperikemanusiaan.

Dalam sekelip mata, mereka boleh mengakses ribuan video lucah yang menanam kefahaman salah tentang hubungan dan seks.

Lebih membimbangkan, keterbukaan digital ini melahirkan ‘dunia rahsia’ dalam kalangan remaja.

Mereka berbincang, berkongsi dan bertukar pandangan sesama sendiri, seolah-olah seks sesuatu yang normal dan boleh dicuba.

Bila keinginan menguasai akal, tindakan melampau berlaku termasuk rogol bergilir yang kini mengaibkan dunia pendidikan dan masyarakat.

Guru biasanya hanya tahu setelah semuanya terlambat, apabila mangsa trauma, apabila video tersebar, atau laporan polis dibuat. Lalu masyarakat mula menuding jari, menyalahkan sekolah kerana gagal mendidik.

Sedangkan persoalan sebenar yang wajar ditanya, di mana ibu bapa ketika anak mula berubah tingkah?

Dalam hal ini, bukan hanya lelaki perlu ditegur, remaja perempuan juga mesti diajar erti menjaga diri dan harga maruah.

Zaman moden tidak boleh dijadikan alasan untuk berpakaian atau berperangai tanpa batas, bukan soal mengekang kebebasan, tetapi soal menilai bagaimana diri dilihat dan dihormati.

Gadis yang tahu nilai dirinya tidak akan mudah dipujuk dengan kata manis dan perlu sedar bahawa menjaga maruah bukan tanda lemah, sebaliknya lambang kekuatan dan harga diri.

Ibu bapa juga perlu berani memecah tembok malu, mendidik anak lelaki menghormati wanita, dan anak perempuan menghormati diri sendiri.

Bicaralah tentang aurat, batas pergaulan dan akibat perbuatan tanpa perlu menunggu mereka jatuh.

Jangan jadikan topik seks sebagai bahan sindiran, tetapi sebagai ilmu yang menuntut tanggungjawab kerana anak yang tahu apa itu maruah akan tahu bagaimana menjaga dirinya.

Seperti pesan Luqman al-Hakim didiklah anak dengan hikmah, bukan hanya dengan amarah, jadilah pendengar yang tenang, bukan hakim yang cepat menghukum, teman yang dipercayai, bukan musuh yang ditakuti.

Hanya dengan gabungan ilmu, kasih sayang dan bimbingan sejak kecil, kita mampu melahirkan generasi yang tahu menilai harga diri dan tidak memperdagang maruahnya demi keseronokan sementara.

Anak-anak tidak akan kekal kecil selama-lamanya, mereka akan membesar dengan nafsu, cabaran dan keinginan yang pernah kita lalui dahulu, cuma dunia mereka kini jauh lebih terbuka dan berisiko.

Maka ibu bapa mesti berani berubah, beranilah berbicara soal seks dari sudut pendidikan agama dan moral.

Bila anak ada tempat bertanya, mereka tidak akan mencari jawapan di luar sana dan segala perubahan mesti bermula di rumah.

*Nor Farhana Yaacob ialah wartawan Sinar Harian Melaka