ALOR SETAR – 143 projek pembangunan bernilai keseluruhan RM6.6 bilion sedang dan bakal dilaksanakan oleh kerajaan pusat di Kedah dalam usaha memperkukuh jaringan infrastruktur serta meningkatkan kemudahan rakyat negeri ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah itu, 60 projek sedang dalam pembinaan dengan nilai RM3.1 bilion, manakala 83 lagi dalam peringkat perancangan membabitkan kos RM3.5 bilion.
Menurutnya, pelaksanaan projek-projek berkenaan membuktikan komitmen kerajaan pusat dalam memastikan pembangunan negeri terus dipacu secara menyeluruh tanpa mengira perbezaan aliran politik.
“Kedah kini menikmati pelaksanaan dan perancangan projek besar di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR). Ini bukti bagaimana kerajaan Malaysia Madani tidak meminggirkan mana-mana negeri, termasuk Kedah, walaupun tidak sealiran ketika ini,” katanya pada sidang akhbar pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas melawat tapak Projek Membina Jalan dan Jambatan Alor Ganu/Titi Gajah ke Titi Besi, Kubang Pasu di sini.
Ahmad berkata, antara projek utama yang sedang dan bakal dilaksanakan termasuk pembinaan kuarters Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Langkawi bernilai RM88.68 juta serta Hospital Kulim yang dianggarkan menelan kos RM400 juta.
Katanya, projek-projek tersebut bukan sahaja memperkukuh infrastruktur negeri, malah memberi limpahan ekonomi dan manfaat langsung kepada rakyat, khususnya dalam aspek kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas.
“Ini bukan sekadar pembinaan fizikal, tetapi pelaburan jangka panjang untuk kesejahteraan rakyat Kedah,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa secara keseluruhan terdapat 865 projek di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan JKR di seluruh negara yang kini dalam pembinaan, dengan nilai keseluruhan mencecah RM49.67 bilion.
Daripada jumlah itu, katanya, 253 projek atau 29.25 peratus berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual, manakala 266 projek atau 30.7 peratus mengikut jadual, menjadikan 60 peratus projek berjalan lancar tanpa kelewatan.
“Sebanyak 841 projek diselia JKR Malaysia, manakala 24 lagi melibatkan projek sekolah daif di bawah JKR Sabah dan Sarawak,” katanya.
Ahmad turut menjelaskan bahawa projek-projek berkenaan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa terdapat beberapa cabaran yang mempengaruhi jadual pelaksanaan projek, antaranya isu berkaitan kontraktor seperti kelemahan dalam pengurusan, masalah aliran kewangan, kekurangan tenaga kerja serta bahan binaan di tapak.