SHAH ALAM – Wanita perlu bangkit dari peranan tradisional sebagai pengurus rumah tangga kepada pejuang integriti yang proaktif.
Pengerusi Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis), Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, di rumah seorang isteri bukan sekadar menegur tetapi perlu menolak dan mengecam sebarang wang, hadiah atau habuan haram yang dibawa pulang suami.
“Jangan jadi sekutu dalam jenayah kerana ia memberi kesan kepada anak-anak juga, sekali gus dapat didik anak untuk membezakan yang hak dan batil sejak kecil.
"Di tempat kerja pula, wanita perlu berani menjadi whistleblower dan menolak budaya ‘duit kopi’ atau ‘hadiah musim perayaan’ yang melampau," katanya.
Ujarnya, jika semua berdiam diri kerana takut hilang jawatan atau dikucilkan, rasuah akan terus subur.
"Kekuatan wanita terletak pada ketegasan dan keberanian untuk mengatakan yang benar, walaupun pahit,” katanya.
Dalam komuniti, beliau menegaskan wanita harus menjadi aktivis, bukan penonton.
“Gunakan kuasa komuniti untuk memulau, memboikot dan memalukan mana-mana peniaga atau individu yang diketahui terlibat dengan rasuah.
"Jangan jadikan mereka ‘role model’. Sebaliknya, junjung tinggi mereka yang berjaya dengan cara yang halal dan bersih,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, wanita adalah 'Moral Guardian' yang mana secara sejarah dan budaya, wanita sering dilihat sebagai penjaga nilai-nilai murni dan penjaga kehidupan keluarga.
"Peranan ini menjadikan mereka lebih peka terhadap perkara yang boleh memusnahkan institusi yang mereka jaga," katanya.