Rogol boleh dicegah: Pendidikan moral, kemanusiaan perlu diperkuat

Iklan
Jenayah rogol bukan lagi isu terpencil yang berlaku di pinggiran masyarakat, sebaliknya menggambarkan krisis kemanusiaan yang semakin membarah dalam arus pembangunan moden. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Norazwan)

JENAYAH rogol bukan lagi isu terpencil yang berlaku di pinggiran masyarakat, sebaliknya menggambarkan krisis kemanusiaan yang semakin membarah dalam arus pembangunan moden.

Di sebalik pelaksanaan undang-undang yang semakin ketat dan kempen kesedaran yang saban tahun dilaksanakan, realitinya kadar jenayah rogol di Malaysia masih menunjukkan pola peningkatan yang membimbangkan.

Iklan
Iklan

Lebih menyayat hati, sebahagian besar kes melibatkan pelaku dan mangsa yang masih di bangku sekolah generasi yang sepatutnya dilindungi dan dibentuk menjadi insan berakhlak.

Baru-baru ini masyarakat sekali lagi menjadi pelbagai watak bagi mengupas isu jenayah ini.

Iklan

Fenomena ini membuka persoalan besar di manakah silapnya? Adakah masyarakat terlalu bergantung kepada hukuman dan tindakan selepas jenayah berlaku, sedangkan akar masalah sebenarnya terletak pada kegagalan sistem pendidikan membina nilai empati, rasa hormat, dan kesedaran moral sejak usia muda?

Lebih daripada sekadar pelanggaran undang-undang, rogol ialah cerminan kegagalan mendidik manusia untuk memahami makna kemanusiaan.

Iklan

Ia bukan sahaja meragut maruah mangsa, tetapi juga mencalar nilai sosial dan menodai nurani masyarakat.

Dalam usaha membanteras jenayah rogol, pendidikan bukan sekadar mekanisme pelengkap dasar sosial, tetapi merupakan benteng pertama yang membentuk asas pemikiran dan moral generasi muda.

Ia harus dilihat sebagai wahana membina sahsiah, menanam nilai empati, dan menumbuhkan kefahaman mendalam terhadap nilai kemanusiaan bukan sekadar proses penyampaian ilmu di bilik darjah.

PENDIDIKAN yang menyeluruh dan berasaskan nilai mampu melahirkan generasi yang menghormati diri serta orang lain, memahami batas pergaulan, dan menolak sebarang bentuk kekerasan mahupun eksploitasi.

Oleh itu, pencegahan jenayah seksual tidak boleh hanya bergantung pada ketegasan undang-undang, tetapi mesti berpaksikan sistem pendidikan yang mengutamakan pembentukan nilai murni.

Pendidikan ini menjadi asas terpenting dalam membina generasi yang memahami nilai hormat dan empati.

Sejak di bangku sekolah, pelajar perlu diajar tentang persetujuan (consent), batas pergaulan, tanggungjawab terhadap tubuh sendiri dan orang lain, serta kesan trauma terhadap mangsa.

Namun, sistem pendidikan kita masih terlalu menumpukan kepada pencapaian akademik berbanding pembinaan moral dan sosial.

Pendidikan reproduktif dan sosial masih dianggap tabu, sedangkan negara-negara maju telah lama menjadikan pendidikan berasaskan nilai ini sebagai strategi nasional mencegah jenayah seksual.

Menurut Dr Aina Rahman, pakar psikologi sosial dari Universiti Malaya,“Kita perlu ubah cara mendidik. Pendidikan bukan untuk menakutkan anak-anak tentang rogol, tetapi untuk menanam kefahaman bahawa setiap tubuh manusia adalah suci dan harus dihormati.”

Pendekatan ini penting dalam membentuk kefahaman bahawa isu rogol bukan semata-mata soal jenayah, tetapi juga soal nilai, empati, dan kemanusiaan.

Apabila pelajar diberi ruang memahami makna persetujuan, hormat, dan tanggungjawab sosial, mereka akan membina kesedaran dalaman yang menjadi benteng kepada perlakuan songsang.

Lebih daripada itu, pendidikan juga berfungsi sebagai pelaburan sosial jangka panjang. Ia bukan sahaja mengurangkan potensi jenayah seksual, tetapi turut melahirkan masyarakat yang lebih beradab, saling menghormati, dan memiliki sensitiviti moral yang tinggi terhadap isu maruah dan hak individu.

Dengan itu, tanggungjawab mendidik tidak boleh digalas sekolah semata-mata. Ia perlu disokong oleh keluarga, komuniti, serta dasar pendidikan negara yang progresif dan berani membincangkan isu-isu sensitif secara terbuka dan berhemah.

NILAI KEMANUSIAAN kian terhakis dalam arus dunia digital yang serba terbuka. Kandungan lucah, jenaka berunsur seksis dan budaya menyalahkan mangsa kerap menular di media sosial.

Platform media sosial yang pada asalnya diwujudkan untuk menyebar ilmu dan menghubungkan manusia, kini turut menjadi gelanggang subur bagi budaya yang menormalisasi keganasan seksual dan sikap tidak bermoral.

Lebih membimbangkan, fenomena ini sering dianggap sebagai hiburan, bukannya ancaman terhadap nilai sosial.

Akibatnya, konsep hormat dan maruah dua asas utama kemanusiaan semakin kabur dalam pemikiran masyarakat, terutamanya generasi muda yang membesar di alam siber.

Kerosakan nilai ini tidak berlaku secara tiba-tiba, tetapi beransur-ansur bermula daripada gurauan, kemudian menjadi bahan jenaka, dan akhirnya diterima sebagai norma.

Apabila masyarakat tidak lagi menegur atau menolak tingkah laku sebegini, sempadan moral menjadi kabur dan risiko jenayah seksual meningkat.

Dalam konteks ini, pendidikan moral dan kemanusiaan perlu kembali diperkuat, bukan sahaja di sekolah, tetapi juga dalam keluarga dan komuniti digital.

Pengguna media sosial harus diajar untuk menilai kandungan, menolak jenaka yang menghina maruah manusia, dan memahami bahawa setiap interaksi digital membawa tanggungjawab etika.

Nilai kemanusiaan bukan boleh diwarisi secara semula jadi ia mesti dipupuk. Tanpa usaha kolektif memulihkan empati dan rasa hormat, masyarakat akan terus kehilangan pedoman, dan ruang digital akan kekal menjadi cermin gelap kepada kegagalan kita mendidik hati dan budi.

Rogol boleh dicegah jika seluruh masyarakat berperanan dari bilik darjah ke rumah, dari dasar kerajaan ke hati manusia.

Pendidikan dan nilai kemanusiaan ialah dua tiang utama untuk melindungi generasi muda daripada menjadi mangsa atau pelaku.

Undang-undang boleh menakutkan, tetapi hanya pendidikan yang mampu mengubah jiwa.

Dan perubahan sebenar bermula apabila kita semua menganggap maruah manusia sebagai sesuatu yang tidak ternilai.

Pendidikan adalah vaksin sosial terhadap jenayah rogol. Ia melatih akal untuk berfikir dan hati untuk berempati.

Undang-undang mungkin menakutkan pelaku, tetapi hanya pendidikan dapat mencegah mereka daripada berniat.

Jika nilai kemanusiaan ditanam sejak kecil di rumah, di sekolah, di masyarakat maka kita tidak hanya membina pelajar yang cemerlang di atas kertas, tetapi insan yang tahu menghormati maruah manusia.

*Prof Madya Dr Mohd Norazwan A Bakar ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Universiti Selangor