Kes tikam pelajar: Sesi PdP sekolah terbabit diteruskan seperti biasa - KP Pendidikan

Iklan
Mohd Azam pada sidang akhbar khas di Putrajaya pada Selasa.

PUTRAJAYA – Sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) diteruskan seperti biasa walaupun pelajar berusia 16 tahun maut ditikam di sekolah terbabit.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, proses persekolahan tidak akan diganggu memandangkan siasatan sedang dijalankan secara teliti oleh pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

“Sekarang ini proses PdP akan berjalan seperti biasa dan siasatan polis tidak mengganggu pengajaran serta pembelajaran murid,” katanya pada sidang akhbar khas, di sini pada Selasa.

Katanya, pentadbir sekolah akan dipindahkan sementara ke pejabat pendidikan daerah bagi membantu siasatan.

Iklan

“Kita mahu siasatan berjalan lancar dan bebas daripada sebarang konflik kepentingan,” jelasnya.

Dalam masa sama, pasukan kaunselor dan guru bimbingan kaunseling telah digerakkan bagi melaksanakan program intervensi sokongan psikososial kepada pelajar, guru serta seluruh warga sekolah yang terkesan.

Iklan

“Kementerian tidak memandang kes ini sebagai kes terpencil. Ia tamparan tegas kepada kami untuk memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan mental pelajar,” katanya.

Ujarnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini bekerjasama rapat dengan polis bagi memperkukuh pemantauan di semua sekolah, termasuk meneliti semula prosedur keselamatan sedia ada.

“Langkah-langkah keselamatan tambahan akan dimaklumkan oleh polis bagi memastikan kawasan sekolah benar-benar selamat,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa keselamatan pelajar bukan hanya tanggungjawab KPM, sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa, komuniti dan pihak berkuasa.

“Setiap sekolah perlu menjadi kawasan selamat untuk anak-anak kita belajar dan membesar,” katanya.

Mengulas mengenai ujian akhir sesi akademik (UASA) yang sedang berjalan di sekolah terbabit, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada sekolah untuk menyesuaikan semula supaya ia berjalan lancar.

“Alhamdulillah, semua sekolah di Malaysia masih berada dalam keadaan baik. Apa pun, KPM tetap memandang serius sebarang ancaman terhadap keselamatan pelajar,” katanya.