IPOH – Perak masih belum mencapai kadar sara diri (SSR) 100 peratus bagi beberapa tanaman makanan utama termasuk beras dan cili walaupun prestasi keseluruhan sektor pertanian negeri menunjukkan peningkatan ketara sepanjang tahun lalu.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, berdasarkan Akaun Pembekalan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Terpilih 2024, sebanyak 18 daripada 29 jenis tanaman makanan di Perak telah mencapai tahap mencukupi untuk menampung permintaan domestik.
Menurutnya, antara tanaman yang mencapai nilai SSR melebihi 100 peratus ialah ubi keledek iaitu 434 peratus, jagung manis (408 peratus), bendi (354 peratus), jambu batu (325 peratus) dan kacang panjang (240 peratus).
"Tetapi masih terdapat 11 jenis tanaman makanan yang belum mencapai tahap sara diri 100 peratus antaranya ialah manggis 96 peratus, beras 93 peratus, belimbing 93 peratus, rambutan 87 peratus serta cili 77 peratus.
"Hal ini menunjukkan masih ada ruang penambahbaikan dalam usaha memastikan bekalan makanan utama negeri berada pada tahap mencukupi dan stabil,” katanya ketika berucap pada Majlis Hari Anugerah Pengembangan Jabatan Pertanian Negeri Perak 2025 di Hotel Casuarina @ Meru di sini pada Selasa.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak, Nosiyenti Othman.
Mohd Zolkafly berkata, prestasi pengeluaran komoditi pertanian Perak secara keseluruhan menunjukkan trend positif pada tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, pengeluaran buah-buahan meningkat 3.1 peratus daripada 125,624 metrik tan kepada 129,567 metrik tan manakala pengeluaran sayur-sayuran pula naik 7.6 peratus daripada 111,782 metrik tan kepada 120,330 metrik tan.
Sementara itu dalam sidang medianya, beliau menjelaskan Jabatan Pertanian negeri mempunyai perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang dalam usaha meningkatkan SSR tanaman yang belum mencapai 100 peratus.
"Kita akan berusaha untuk meningkatkannya dan kita akan memfokuskan bersama jabatan pertanian dan lain-lain agensi untuk menambah pengeluaran dalam SSR yang saya sebutkan tadi, beras, cili, tomato dan sebagainya.
"Saya ucap terima kasih kepada Jabatan Pertanian, mereka ada database, tetapi kita memerlukan lebih banyak lagi data-data ini untuk kita ada pelan tindakan dan strategi untuk mempertingkatkan pengeluaran serta mempertingkatkan usahawan dan sebagainya," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zolkafly berkata, menjelang Monsun Timur Laut (MTL), mereka yang terlibat dengan sektor pertanian diminta supaya bersiap siaga menghadapi bencana seperti banjir atau ribut.
Katanya, mana-mana petani, penternak atau pesawah memantau kawasan tanaman atau ternakan masing-masing bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Jelasnya, jika tanaman atau ternakan mereka terjejas, boleh segera melaporkan kepada agensi berkaitan bagi membolehkan bantuan bencana yang disediakan dapat disalur secepat mungkin.