JERLUN - Seramai 372 pesawah yang mengalami kerugian akibat banjir yang melanda beberapa daerah di Kedah baru-baru ini akan menerima pampasan dalam tempoh terdekat.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, kerugian dialami pesawah yang terjejas dianggarkan mencecah RM7.5 juta.
Menurutnya, MADA telah mengenal pasti kira-kira 745 hektar tanaman padi musnah dalam kejadian banjir selepas hujan berterusan selama beberapa hari lalu.
“Setakat ini, seramai 372 pesawah kerugian secara keseluruhan memandangkan tanaman padi mereka telah mencapai hampir 90 peratus tempoh penuaian sebelum kejadian banjir berlaku.
“Kebanyakan pesawah mengalami ‘total lost’ kerana padi mereka hampir masak ketika itu,” katanya selepas melancarkan majlis peluncuran kempen keladi agas di Kawasan Muda bagi musim 2/2025, di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA F11 Jerlun pada Selasa.
Ismail memaklumkan, MADA akan memulakan bancian pada Khamis ini bagi menilai tahap kerosakan sebenar serta jumlah pampasan yang akan disalurkan.
Menurut beliau, bancian menyeluruh itu akan dilakukan oleh pegawai MADA di semua kawasan terlibat bagi memastikan pesawah yang layak menerima bantuan tidak tercicir.
“Kita juga akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk mempercepatkan proses pembayaran pampasan agar pesawah dapat memulakan semula penanaman bagi musim akan datang tanpa menunggu lama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ismail memaklumkan, MADA turut memperkukuhkan langkah kawalan terhadap infestasi keladi agas di Kawasan Muda melalui pelaksanaan kempen kawalan keladi agas sebagai usaha memastikan pengeluaran padi kekal stabil dan mampan.
“Ancaman keladi agas dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menjejaskan hasil padi, dengan infestasi bagi musim 1/2025 melibatkan kira-kira 1,000 hektar, meningkat 30 peratus berbanding musim sebelumnya,” ujarnya.
Menurutnya, bagi menangani masalah ini, MADA membangunkan pakej kawalan keladi agas Kawasan Muda hasil libat urus bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan syarikat agrokimia, merangkumi panduan kawalan menyeluruh dari peringkat penyediaan tanah, pra-penanaman hingga ke fasa vegetatif.
“Kita menjangkakan kadar infestasi bagi keseluruhan kawasan dapat dikekang kepada kurang daripada 30 peratus sekiranya peladang melaksanakan kawalan seperti disyorkan dalam pakej berkenaan,” katanya.
Ismail jelaskan, MADA akan melaksanakan 20 siri program libat urus melibatkan 600 peladang sebagai sebahagian daripada kempen tersebut.
“Kita juga akan memperkenalkan 27 plot demonstrasi kawalan keladi agas di bawah PPK MADA mulai Musim 2/2025 bagi mempamerkan keberkesanan kaedah kawalan di lapangan.
“Pelaksanaan kempen ini bukan hanya langkah jangka pendek, tetapi sebahagian strategi jangka panjang untuk memastikan pengurusan rumpai di Kawasan Muda dapat dilaksanakan secara mampan,” katanya.
Tambah beliau, MADA akan terus menumpukan kepada pendekatan berasaskan pengembangan teknologi pertanian sebagai tunjang kepada keterjaminan pengeluaran padi negara.
“MADA komited sebagai agensi peneraju dalam memperkukuh rantaian pengeluaran padi negara sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras dan menjamin kelestarian makanan negara,” katanya.