'Mereka berdua sahabat baik, setiap hari ke sekolah bersama' - Ibu

Iklan
Nor Aziera (kanan) dan Farizon menunjukkan gambar anak mereka yang maut dalam kemalangan di Jalan Bukit Keluang Besut pada Selasa.

BESUT - Seorang ibu tidak menyangka anak sulungnya yang juga pelajar Tingkatan Satu maut kemalangan bersama rakan baiknya ketika dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permaisuri Nur Zahirah di Jalan Bukit Keluang di sini pada Selasa.

Nor Aziera Hashima Mohd Saleh, 33, berkata, anaknya, Wan Mohamad Shahronny Wan Rosli, 13, amat rapat dengan rakannya, Nik Aqil Faizin Nik Abdul Aziz, 13, dan mereka ke sekolah bersama setiap hari.

Iklan
Iklan

Katanya, tragedi menimpa anaknya itu diketahui kira-kira jam 7.30 pagi selepas menerima panggilan daripada guru sekolah sebelum segera menghubungi suaminya, Wan Rosli Wan Abd Razak, 49, yang ketika itu sudah keluar bekerja.

“Anak saya memang ke sekolah setiap hari dengan rakan baiknya yang tinggal di Kampung Air Tawar. Saya hanya tahu mereka maut sebaik tiba di lokasi kejadian.

Iklan

“Sejak kebelakangan ini, tiada pula dia menunjukkan sebarang perubahan sikap,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Besut pada Selasa.

Jelas Nor Aziera, sebelum ini anaknya ke sekolah dengan dihantar oleh ibu bapa dan mula menunggang motosikal sendiri sejak dua bulan lalu.

Iklan

“Pagi tadi sebelum keluar, dia sempat minta saya sediakan bijirin sarapan kegemarannya bersama susu sebagai alas perut sebelum ke sekolah.

“Tak sangka rupa-rupanya itu permintaan terakhir dia,” katanya sebak.

Sementara itu, ibu kepada Nik Aqil, Farizon Saari, 50, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu seorang yang sangat manja dan peramah.

“Dia rapat dengan saya dan selalu bercerita tentang sekolah, guru serta rakan-rakannya.

“Malam tadi dia minta saya tidur di sebelahnya, tapi saya suruh dia tidur dulu sebab sedang menjahit baju,” katanya.

Jenazah Wan Mohamad Shahronny akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 8, Seberang Kastam, manakala Nik Aqil Faizin pula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Demong.

Urusan pengebumian dijalankan selepas proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Besut selesai.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan dua pelajar Tingkatan Satu itu maut selepas motosikal jenis Yamaha Y16ZR dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah Nissan Serena di Bukit Keluang kira-kira jam 7.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu, berkata kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada badan dan kepala.