PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kesemua anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dilengkapi dengan alat perakam badan (BWC) bagi meningkatkan integriti, ketelusan serta melindungi mereka daripada tomahan serta tuduhan tidak berasas ketika menjalankan tugas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebanyak 100 unit kamera badan akan digunakan pada peringkat awal, melibatkan pegawai penguat kuasa di ibu pejabat dan JPJ negeri dengan peruntukan RM2.3 juta.
“Inisiatif ini merupakan langkah strategik MOT dan JPJ dalam memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan serta meningkatkan integriti dan ketelusan perkhidmatan awam,” katanya pada sidang akhbar di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, penggunaan BWC membuktikan komitmen JPJ untuk melaksanakan penguatkuasaan berasaskan bukti dan memastikan setiap tindakan di lapangan dapat dirakam, dinilai serta dipantau secara objektif.
“Kita tahu apabila buat tindakan seperti ini, sudah tentu akan ada ugutan dan tomahan, ada yang kata anggota JPJ mahu ambil rasuah dan sebagainya. Sebab itu saya arahkan supaya anggota yang ditugaskan dalam operasi khas dilengkapkan dengan kamera dan juga pistol bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya.
Beliau menjelaskan, langkah itu bukan sahaja untuk melindungi pegawai daripada tuduhan tidak berasas tetapi juga menjadi bukti terhadap sebarang bentuk salah laku atau ketidakpatuhan oleh pengguna jalan raya.
Anthony turut memberi amaran keras kepada pemandu agar tidak bertindak agresif terhadap anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas.
“Saya nak ingatkan kepada pemandu-pemandu luar, jangan bertindak agresif. Semua tindakan anda akan dirakam dan jika ada cubaan bertindak fizikal terhadap anggota JPJ, tindakan jenayah akan diambil,” tegasnya.
Beliau berkata, semua rakaman BWC akan diaktifkan sebaik sahaja anggota melapor tugas dan tidak boleh dimatikan sehingga tugasan selesai.
“Kalau anggota matikan kamera tanpa sebab mereka perlu lapor dan akan disiasat oleh pegawai atasan,” katanya.
Anthony menambah, pelaksanaan BWC akan menjadi pemangkin kepada transformasi budaya kerja penguatkuasaan, meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap ketelusan tindakan JPJ dan memperkukuh sistem tadbir urus perkhidmatan awam.
“Ini bukti komitmen JPJ untuk melaksanakan tugas secara tegas, profesional dan berintegriti tinggi, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani,” katanya.